Ribut Tropika Senyar: Perak tidak terjejas, namun kekal siap siaga

IPOH – Perak sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun tidak mengalami kesan serius daripada Ribut Tropika Senyar yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak tengah malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara langkah yang diambil adalah melakukan pemantauan terhadap perkembangan cuaca secara langsung melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (SDCC) Negeri Perak di Banguan Perak Darul Ridzuan.

“Jika merujuk kepada laporan awal, ada beberapa negeri yang dijangka akan terkesan (dengan Ribut Tropika Senyar) termasuk Perak.

“Namun saya difahamkan Perak tidak terjejas serius dengan cuaca itu, sebaliknya ia hanya lalu dan pergi ke Selangor (dan sebahagian di selatan) dan dijangka terus ke Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sistem Maklumat Ahli Dewan Negeri (eADN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Media pada Khamis melaporkan Ribut Tropika Senyar yang dikesan di perairan Selat Melaka telah memasuki perairan Malaysia pada petang Khamis dijangka akan berterusan sehingga pagi Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut tropika itu dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

Beliau dilaporkan memaklumkan, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang serta negeri-negeri serta kawasan yang berhampiran.

Mengulas lanjut Saarani memberitahu, SDCC Negeri Perak beroperasi dengan sistem komunikasi lengkap serta menerima maklumat cuaca secara langsung daripada MetMalaysia dan agensi-agensi berkaitan.

“Menerusi SDCC Negeri Perak, kita akan maklumkan secara langsung kepada setiap pengerusi jawatankuasa bencana daerah yang berkaitan untuk mereka melakukan sebarang persiapan yang perlu,” katanya lagi.

Menyentuh tentang perkembangan banjir, Saarani berkata, hasil pemantauan dan maklumat di lokasi, keadaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir berada dalam keadaan baik.

Beliau turut memuji usaha semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menguruskan keperluan mangsa banjir, termasuk penyediaan makanan dan kelengkapan asas di PPS.

Namun Saarani menjelaskan bahawa, sekolah menengah yang mempunyai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang dielakkan daripada dijadikan PPS bagi mengelakkan gangguan perjalanan peperiksaan.

“Kesiapsiagaan di semua PPS berada dalam keadaan terbaik, kecuali di beberapa sekolah menengah yang mana calon-calon SPM perlu menduduki peperiksaan.

“Cuma di Hilir Perak sahaja, ada satu sekolah yang terpaksa digunakan sebagai PPS. Itu pun kita pisahkan antara dewan peperiksaan dengan tempat penginapan mangsa banjir,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat luar biasa tengah malam ini susulan ribut tropika Senyar

Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri hingga 1 tengah hari esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI