BATU GAJAH – Sektor pelancongan di Perak tidak terjejas meskipun nilai mata wang tempatan merosot baru-baru ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau sebaliknya menyifatkan situasi berkenaan membawa kesan positif kepada industri pelancongan tempatan ekoran mampu menarik kedatangan pelancong luar ke Malaysia memandangkan perbelanjaan lebih murah berbanding negara lain.
“Kedudukan itu akan menarik dan mendorong kedatangan pelancong luar terutama dari negara yang mempunyai nilai lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia berbelanja di negara ini.
“Satu masa dahulu, ramai memilih bercuti ke Indonesia dan Thailand kerana duit di sana lebih rendah dari duit kita.
“Keadaan ini akan menarik perhatian orang ramai datang ke mari untuk berbelanja ke negara ini kerana perbelanjaan lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan negara memerlukan nilai mata wang kukuh bagi pengukuhan ekonomi terutama perdagangan dan import eksport.
“Bukanlah saya minta nilai mata wang jatuh, tetapi dari satu segi kita fikir positif lagi-lagi untuk pelancongan.
“Saya percaya di Johor pun ketika ini ramai rakyat Singapura turun berkunjung ke negeri itu membeli barang kerana lebih murah,” katanya.
Pada 16 Februari lalu, nilai Ringgit Malaysia berada pada 4.7765/7820 berbanding dolar AS daripada 4.7800/7850 yang dicatatkan pada hari Khamis. – MG Perak
Artikel Berkaitan: