RM15.5 billion rampasan, penalti bukti hasil negara dirompak

PARIT – Kejayaan Kerajaan Madani memperoleh RM15.5 bilion hasil rampasan dan kutipan penalti bagi tempoh 2024 dan 2025 membuktikan penguatkuasaan dilakukan melebihi daripada apa yang pernah dibuat sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya tidak mengatakan bahawa tiada tindakan penguatkuasaan dibuat kerajaan sebelum ini tetapi ia tidak sebaik Kerajaan Madani.

“Semalam dalam ucapan Belanjawan 2026 saya sebut dalam tempoh dua tahun iaitu 2025 dan 2025 kita berjaya merampas wang yang dicuri, diseludup dengan kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion.

“Maknanya berapa lama rompakan dan kerja sauk ini berlaku. Dua tahun. Kerana itu saya tegas dan kata kepada semua badan-badan agensi penguatkuasaan tiada kompromi kepada rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OKTOBER 2025.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden UTP, Ir. Mohamed Firouz Asnan.

Tambah Anwar, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa untuk menumpaskan sindiket dan kartel yang mencuri daripada rakyat sehingga negara mengalami kerugian.

“Dengan mandat sebagai Perdana Menteri saya dengan rakan-rakan menteri akan pastikan negara ini menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Perdana Menteri, turut berkongsi impian beliau untuk membanteras habis-habisan ketirisan hasil negara melibatkan penyeludupan dan kegiatan jenayah sebelum tamat penggal.

Menurut beliau, kejayaan Kerajaan Madani memperoleh RM15.5 bilion hasil rampasan dan kutipan penalti, bagi tempoh 2024 dan 2025 membuktikan bahawa hasil negara telah dirompak sejak sekian lama.

“Ia menunjukkan kita mempunyai pemimpin dan pegawai yang korup dan saya tidak cakap tiada penguatkuasaan sebelum ini tetapi tindakan penguatkuasaan itu tidak pernah dilakukan seperti tahap sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OKTOBER 2025.

“Jadi adalah menjadi impian saya dengan berbaki beberapa tahun sahaja lagi Insya-Allah saya mahu membersihkan kacau-bilau yang berlaku ini.

“Jika ada kritikan yang dilemparkan ia tetap tidak akan menganggu saya kerana ini merupakan tugas Perdana Menteri,” katanya.

Anwar pada Jumaat dalam ucapan Belanjawan 2026 mengumumkan Kerajaan Madani berjaya memperoleh RM15.5 bilion hasil rampasan dan kutipan penalti, dalam tempoh dua tahun hasil kerjasama agensi penguatkuasa.

Usaha itu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, kastam, dan Suruhanjaya Persaingan.

Perdana Menteri mengambil kejayaan terbaharu polis menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, ketika membentangkan Belanjawan 2026. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI