RM181,650 lesap, suri rumah ditipu ‘Inspektor Chong’

IPOH – Seorang suri rumah terpaksa berputih mata selepas kerugian RM181,650 akibat diperdaya sindiket ‘phone scam’ atau penipuan yang menyamar sebagai pihak polis dalam talian, di Taiping pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 55 tahun berkenaan tampil membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali yang mendakwa sebagai pekerja sebuah syarikat penghantaran dari Kuantan, Pahang, sekitar jam 2.08 petang, pada Sabtu.

Kata beliau, suspek mendakwa kononnya mangsa telah menghantar bungkusan ke Kuantan yang mengandungi tiga kad pengenalan, tiga passport dan dua kad mesin juruwang automatik (ATM), namun mangsa menafikan ada berbuat demikian.

“Kira-kira lima minit kemudian, wanita itu menerima panggilan telefon daripada individu lain yang mengaku sebagai pekerja daripada syarikat penghantaran terbabit sebelum kononnya menyambung panggilan telefon mangsa kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Suspek mendakwa telah membuat laporan polis dan meminta mangsa menyemak semula laporan itu melalui pesanan di aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang individu memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Chong’ kononnya ingin mengambil keterangan mangsa berkenaan laporan polis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mohd Yusri memaklumkan, individu tidak dikenali itu kemudian mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dengan pengurus sebuah bank di Taiping bernama ‘Tan Wai Lun’.

Kata beliau, suspek mendakwa mangsa telah menjual akaun bank miliknya kepada pengurus bank berkenaan untuk aktiviti jenayah bagaimanapun mangsa menafikannya.

Ujar beliau, suspek kemudian mengarahkan wanita terbabit untuk berhubung dengan ‘Datuk Yong’ kononnya dari IPK Pahang, jika mahu menyelesaikan kes terbabit.

“Pada hari yang sama, jam 4.06 petang mangsa, telah menerima pesanan WhatsApp daripada suspek keempat.

“Mangsa telah menghantar tiga maklumat akaun bank miliknya kononnya untuk membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

“Selepas itu, suspek keempat telah menghantar satu salinan kononnya surat pengesahan kewangan daripada BNM.

“Manga kemudian diarahkan memasukkan kesemua wang simpannya ke dalam akaun bank yang telah diberikan oleh suspek bagi tujuan siasatan dan sekiranya gagal, suspek mendakwa kesemua wang dalam akaun bank miliknya dibekukan,” jelas beliau.

Tambah Mohd Yusri, mangsa yang dalam ketakutan dan cemas telah melakukan 20 kali transaksi pemindahan wang kepada empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah RM181,650.

Menurut beliau, selepas disyaki ditipu, mangsa telah tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pesara kerajaan rugi RM127,560 angkara ‘phone scam’

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI