Pesara kerajaan rugi RM127,560 angkara ‘phone scam’

IPOH – Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM127,560 selepas terpedaya dengan penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) oleh pihak yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier dan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 61 tahun, semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 25 September lalu, sewaktu mangsa yang berada di rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan, menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja sebuah syarikat kurier.

“Suspek menipu mangsa dengan mendakwa bahawa mangsa mempunyai satu bungkusan bermasalah dan kemudian panggilan mangsa kononnya disambung ke talian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bagi bercakap dengan Inspektor dan Sarjan.

“Mangsa yang diperdaya suspek menyamar sebagai pegawai polis itu diminta mengemukakan gambar muka hadapan kad bank miliknya kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari penipuan suspek selepas anak perempuannya memeriksa telefon bimbit mangsa.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami kerugian sejumlah RM127,560 selepas melakukan tiga transaksi ke tiga akaun bank milik individu berlainan sepanjang tempoh antara 9 hingga 10 Oktober lalu.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI