IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membelanjakan masing-masing RM6,000 kepada setiap 24 zon bandar raya bagi sumbangan berbuka puasa dan moreh di masjid dan surau terpilih pada tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, inisiatif di bawah Program Majlis Berbuka Puasa MBI itu sebagai usaha MBI merapatkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat setempat.
Menurutnya, jumlah itu merupakan peruntukan tertinggi yang pernah dibelanjakan MBI berbanding pada tahun-tahun sebelumnya, iaitu sekitar RM2,000 ke RM5,000 bagi setiap zon.
“Usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang mana di bawah komponennya adalah mahu PBT merapatkan jurang dengan masyarakat.
“Oleh itu, dengan sumbangan ini akan sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban serta mengeratkan hubungan silaturrahim dengan pengurusan masjid dan surau di Bandar Raya Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Datuk Bandar Ipoh Bersama Anak Yatim di Hotel M Roof, dekat sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman; Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Datin Noraini Abdullah serta Pengetua Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta, Norizan Razali.
Pada majlis, Rumaizi menyantuni 39 anak yatim dari dua rumah perlindungan itu serta menyampaikan sumbangan tunai RM50 kepada setiap seorang penerima.
Mengulas lanjut beliau berkata, Program Majlis Berbuka Puasa MBI akan diteruskan pada masa hadapan kerana ia dilihat berperanan memperkasakan PBT sebagai kerajaan lapisan ketiga.
“Inisiatif ini digerakkan Ahli Majlis MBI di setiap zon dan mereka ini merupakan ahli kerajaan. Selaras dengan dasar SDG yang digariskan KPKT, mereka perlu melaksanakan usaha mesra komuniti.
“Sudah tentunya kita akan melaksanakan lebih banyak program seumpanya agar hubungan dua hala antara PBT, masyarakat serta pihak swasta, dapat terus diperkukuhkan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI kesan peniaga jual tapak bazar Ramadan dua kali ganda harga