IPOH – Komitmen kewangan sehingga RM7.5 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) di negeri Perak.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, komitmen itu dibuat menerusi kerjasama strategik antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dan Spark Capital Development Berhad (SCDB) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun.
Katanya, peruntukan berkenaan termasuk RM1 juta yang diunjurkan pada tahun pertama bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran serta melaksanakan program pembangunan bakat STEM dan AI di negeri ini.
“Kerjasama ini menggabungkan sokongan ekosistem dan ruang oleh Digital Perak dengan kepakaran serta kandungan oleh SCDB.
“Pembiayaan turut disokong kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan tajaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Digital Perak Bersama SCDB sempena Konvensyen Inovasi Negeri Perak, di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Selasa.
Kok Lim berkata, antara tumpuan utama kerjasama itu ialah penubuhan ‘STEM AI Hub’ di Hub Inovasi & Multimedia (HiM) Digital Perak, di Meru Raya yang akan menjadi pusat latihan dan pembelajaran berkaitan STEM serta AI.
Jelas beliau, kemudahan di HiM juga akan dinaik taraf dengan peralatan dan ruang pembelajaran yang membolehkan guru serta pelajar mendapat pengalaman pembelajaran secara lebih praktikal.
“Pada peringkat awal, inisiatif ini akan melibatkan 100 guru dalam empat kohort menerusi Program Perintis Pendidik Digital STEM AI, selain program latihan asas selama lima hari atau 40 jam untuk Program Pendidik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)-AI,” katanya.
Kok Lim berkata, HiM juga akan dibangunkan sebagai pusat rujukan latihan dan pensijilan STEM AI negeri, manakala tiga pusat satelit akan diwujudkan di daerah-daerah bagi meluaskan capaian program berkenaan.
Jelas beliau, inisiatif itu menyasarkan untuk melahirkan 1,000 jurulatih utama, 300 pengajar TVET yang mempunyai kemahiran AI serta memberi pendedahan STEM dan AI kepada 30,000 pelajar menerusi modul sekolah dan Cabaran Inovasi STEM AI tahunan Perak.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan bakat teknologi di Perak bukan hanya tertumpu kepada pelajar, sebaliknya turut melibatkan guru dan tenaga pengajar sebagai kumpulan yang akan membimbing generasi seterusnya.
“Melalui pendekatan ini, pembangunan bakat STEM dan AI dapat diperkukuh dari peringkat pendidik hingga pelajar, sekali gus menyediakan generasi yang bukan sahaja memahami teknologi, tetapi mampu mencipta, berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


