IPOH – Kerajaan Perak menyambut baik pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang turut memberi tumpuan kepada negeri ini menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan berskala besar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara yang dikenal pasti ialah pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), yang dijangka dimulakan seawal tahun hadapan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu bukan sahaja bakal memperkukuh infrastruktur tenaga negara, malah berpotensi menjana ribuan peluang pekerjaan, termasuk 3,000 tenaga kerja dalam bidang kimpalan.
“Projek RGT Ketiga itu adalah projek Kerajaan Persekutuan yang mana ia akan diuruskan dan diumumkan lanjut oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk nilai pelaburan kepada Bursa Malaysia.
“Cuma di peringkat negeri kita berterima kasih atas pengumuman itu, dan saya berpandangan ia adalah pencapaian agak besar.
“Ia selaras dengan hasrat yang kita gariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu menyediakan sebanyak mungkin peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Royal Perak Golf Club (RPGC), dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, projek RGT Ketiga itu dilihat sebagai pemangkin utama kepada pembangunan LuMIC yang dirancang dalam tujuh fasa pelaksanaan.
“Kita membangunkan LuMIC secara berfasa dalam tempoh 25 tahun, dan kita berharap projek RGT ini akan bertapak secara kekal di kawasan tersebut.
“Perkembangan ini juga membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Perak sebagai hab pelaburan strategik,” katanya lagi.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan lima projek mega serta RGT Ketiga negara menerusi pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat.
Fasiliti itu dilihat akan memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara dan memperkasakan keupayaan sektor maritim, logistik dan pembinaan kapal di kawasan pesisir barat Perak.
Terminal baharu itu juga dirancang dibangunkan dengan kapasiti setara dua kemudahan sedia ada milik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RMK-13: Sejuta rumah mampu milik akan dibina antara 2026 -2035