PUTRAJAYA – Perihal rombakan Kabinet tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau juga meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung rombakan Kabinet kerana ia hak prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuatnya.
“Tidak akan pernah ada rombakan Kabinet dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Itu hak prerogatif perdana menteri.
“Tidak ada mana-mana perdana menteri yang membincangkan siapa yang nak digugur atau dinaikkan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di sini hari ini.
Ahad lepas Ahmad Zahid berkata rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat dan antaranya disebab kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Mengulas laporan sebuah portal bahawa Anwar akan mengumumkam barisan Kabinet yang baharu esok selepas mesyuarat Kabinet, Ahmad Zahid berkata beliau percaya Anwar akan memaklumkan kepadanya terlebih dahulu sebelum pengumuman mengenai rombakan Kabinet dibuat.
“Perdana menteri di dalam beberapa wawancara ada menyebutkan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan dirunding terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya dimaklumkan (mengenai rombakan Kabinet).
“Setakat pukul 5 petang tadi, belum ada tanda-tanda yang perdana menteri memanggil sekurang-kurangnya saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberi bayangan BN akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman susulan PAS tidak berhasrat mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan calonnya, Che Alias Hamid.
Meskipun potensi kemenangan di kerusi itu tipis, Ahmad Zahid berkata sebagai parti bermaruah, BN akan mencuba nasib bagi mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Majoriti yang diperoleh bekas Ahli Parlimen sebelum ini adalah lebih 27,000, sebagai parti bermaruah walaupun potensi kelam, dengan (dapat) mengurangkan majoriti pun sudah cukup baik,” katanya.
Pada 26 Sept lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membenarkan petisyen BN yang difailkan terhadap Che Alias, sekali gus membatalkan kemenangan yang dicapai PAS dalam PRU15 di Parlimen Kemaman pada 19 Nov tahun lepas.
Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi.
Beliau menewaskan calon BN Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) yang masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
— BERNAMA