KUALA LUMPUR – Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Perkara berkenaan disahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim dalam mesyuarat sama turut berkenan supaya 65 banduan dibebaskan hari ini.
Semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan pula hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan melibatkan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Perkembangan hari ini sekali gus mengesahkan laporan MalaysiaGazette semalam bahawa agenda berkaitan permohonan Najib dalam mesyuarat berkenaan ditangguhkan.
MalaysiaGazette pada 8 September lalu terlebih dahulu melaporkan Lembaga Pengampunan dijangka bersidang Jumaat ini dengan permohonan berkaitan Najib dipercayai antara perkara yang akan diberi perhatian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kemudian mengesahkan Lembaga Pengampunan dijadualkan bersidang pada pukul 8.30 pagi hari ini, namun ketika itu enggan mengulas lanjut mengenai agenda mesyuarat.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan berdasarkan sumber bahawa agenda berkaitan permohonan Najib dijangka ditunda ke mesyuarat akan datang.
Terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 dilaporkan bermula pada pukul 8.30 pagi tadi dan dipengerusikan Sultan Ibrahim.
Sebagai rekod, Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari 2024 turut mempertimbangkan permohonan pengampunan Najib.
Urus Setia Lembaga Pengampunan kemudian mengumumkan pada 2 Februari 2024 bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette


