IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak dijangka melakukan rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri namun tidak melibatkan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.
Pengarah Pilihan Raya PKR Perak, Tan Kar Hing berkata, segala keputusan untuk merombak majlis pimpinan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi dan dijangka akan diketahui seawal April depan.
“Majlis Pimpinan Negeri bakal menganjurkan pemukiman pada 8 hingga 10 Mac ini di Pulau Pangkor.
“Sama ada rombakan jadi atau tidak, ia terpulang kepada pengerusi tetapi kita akan menumpukan perbincangan untuk kita mengorak langkah dalam politik.
“Pada sesi pemukiman itu, kita akan membicarakan beberapa perkara termasuk posisi penting (dalam kepimpinan PKR Perak) serta langkah strategik untuk merampas beberapa kerusi yang masih gagal menemui kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat PKR Perak, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Kar Hing berkata, PKR Perak tidak menolak kemungkinan untuk menambah kapasiti kekuatan parti dengan mewujudkan beberapa jawatankuasa baharu sebagai menghadapi persediaan pilihan raya akan datang.
“Kita tahu, parti perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran termasuk mengenal pasti kerusi-kerusi yang mahu tandingi dengan memilih kerusi strategik untuk perubahan yang dinamik dalam landskap politik Perak,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, setakat ini PKR Perak masih mengekalkan kerusi sedia ada untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Bagaimanapun, selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, PKR membuka ruang seluas-luasnya untuk mengadakan perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Setakat ini, kita belum lagi mula dengan rundingan kerusi tetapi lebih kepada menguatkan kerjasama yang lebih kukuh antara PH dan BN.
“Hubungan yang kukuh itu sangat penting supaya dapat membina kepercayaan antara parti dan dijangka menjelang akhir tahun ini akan mulakan proses rundingan kerusi akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Kar Hing berkata, PKR Perak akan menganjurkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan JKKK Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 3 Mac depan bermula jam 7 hingga 11 malam.
Katanya, antara kepimpinan di bawah Kerajaan Perpaduan yang akan hadir pada majlis tersebut termasuklah Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dan wakil UMNO Perak, Datuk Sham Mat Sahat.
Kar Hing yang juga Pengarah majlis berkenaan berkata, seramai 2,000 orang dijangka hadir pada majlis berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri akan melibatkan enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Artikel Berkaitan:
[…] Rombakan PKR Perak tidak babit Pengerusi, Timbalan Pengerusi […]