Rumah kosong antara punca kes denggi meningkat – Exco Perak

IPOH – Selain masalah longkang tersumbat, keadaan rumah kosong yang ditinggalkan di kawasan penempatan dikenal pasti menjadi antara faktor utama kepada peningkatan kes demam denggi di Perak.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, keadaan itu banyak dikesan di kawasan luar bandar apabila premis berkenaan bertukar menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Beberapa punca telah dikenal pasti terutama di kawasan Kampung Baru dan Kampung Tradisi di seluruh Perak termasuk rumah-rumah kosong yang ditinggalkan kerana keluarga atau pemilik sudah berpindah ke lokasi lain.

“Rumah-rumah yang terbiar ini kemudian dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk yang akhirnya menyumbang kepada kes demam denggi di sesuatu kawasan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Rumah kosong punca kes denggi Perak Keyphrase Synonyms rumah terbiar punca denggi rumah kosong pembiakan Aedes kes denggi meningkat di Perak nyamuk Aedes di Perak wabak denggi Perak Related Keyphrases kes denggi Perak 2026 rumah kosong jadi tempat pembiakan Aedes peningkatan kes denggi di Kinta JKN Perak kawal wabak denggi langkah cegah demam denggi Perak
Exco Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 13 JULAI 2026.

Tambah beliau, antara cabaran yang dihadapi petugas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak ialah kesukaran memasuki rumah terbiar bagi menjalankan pemeriksaan dan semburan racun nyamuk atas beberapa faktor termasuk aspek keselamatan.

“Kakitangan kita berdepan masalah untuk masuk ke dalam rumah-rumah ini kerana kita tidak tahu keadaan keselamatan di dalamnya memandangkan ada antara rumah tersebut sudah teruk keadaannya.

“Justeru itu jika perlu, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan pihak berkuasa memasuki premis berkenaan untuk menjalankan aktiviti semburan racun nyamuk atau semburan kabus,” jelasnya.

Bagi mengekang peningkatan kes denggi, beliau berkata, JKN Perak telah menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan bantuan dari seluruh daerah bagi memperkukuhkan aktiviti kawalan serta pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di kawasan berisiko terutama di daerah Kinta.

Sivanesan berkata, selain itu, model gotong-royong turut diperkenalkan dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan rumah ke rumah, pengurusan barang lusuh, penglibatan golongan muda serta tindakan penguatkuasaan terhadap lot tanah kosong.

Mengulas lanjut tentang situasi semasa, Sivanesan berkata, Perak merekodkan 1,425 kes denggi dengan satu kematian setakat 9 Julai lalu, berbanding 1,120 kes tanpa kematian bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus meletakkan negeri itu di tangga keenam tertinggi di Malaysia.

“Daerah Kinta telah melaporkan sebanyak 29 kes daripada keseluruhan kes di Perak. Daerah Kampar melaporkan 11 kes, Batang Padang (enam kes), Kuala Kangsar (tiga kes), Larut Matang dan Selama (LMS), Muallim dan Perak Tengah (masing-masing dua kes).

“Manakala Bagan Datuk, Kerian dan Manjung masing-masing melaporkan satu kes. Kampar pula menunjukkan peningkatan kes yang tertinggi berbanding paras median lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 22 lokaliti wabak denggi direkodkan bagi tempoh 28 Jun hingga 4 Julai lalu meliputi lima lokaliti wabak baharu, tujuh wabak terkawal, dua wabak tidak terkawal, tiga ‘hotspot’ atau titik panas, serta lima lokaliti yang diisytiharkan tamat wabak.

“Antara lokaliti di Kinta yang perlu diberi tumpuan adalah Cherry Apartment dengan 53 kes hotspot, Kampung Tengku Hussein Hujung dan Taman Cherry masing-masing merekodkan 17 dan enam kes hotspot.

“Sementara itu, Taman Pakatan Jaya dan Bercham Raya mencatatkan enam dan tujuh kes wabak tak terkawal, serta Desa Lahat Sri Wang tiga kes, Taman Rima Gamelan dan Kampung masing-masing dua kes wabak baru,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masalah pengurusan sampah di kawasan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli yang tidak berada di bawah pentadbiran PBT turut menyumbang kepada risiko pembiakan nyamuk Aedes.

“Walaupun ada PBT yang menyediakan tong sampah atas inisiatif sendiri, masyarakat kampung perlu memainkan peranan bagi memastikan sampah tidak dibuang merata-rata kerana kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak rekod 1,248 kes denggi, satu kematian bagi tempoh enam bulan pertama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI