Rumah siap tidak terjual: Pemaju digesa teliti, buat kajian pasaran

LUMUT – Kerajaan negeri Perak menggesa pemaju supaya meneliti dan membuat kajian pasaran terlebih dahulu sebelum membangunkan sebarang projek perumahan bagi mengelakkan lambakan kediaman yang sudah siap dibina tetapi tidak terjual atau ‘overhang’ daripada terus meningkat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, terdapat beberapa faktor yang menjurus ke arah perkara tersebut termasuklah ketidakseimbangan penawaran dan permintaan, lokasi projek dan harga.

Menurutnya, terkini, rumah tidak terjual yang paling tinggi melibatkan segmen harga antara RM100,000 hingga RM200,000 dan antara RM200,000 hingga RM300,000.

“Kita tengok rumah siap yang tidak terjual atau ‘overhang’ sentiasa berkait rapat dengan beberapa faktor contohnya tawaran yang ada tidak sepadan dengan keperluan.

“Dari segi data, selalu ada segmen tertentu rumah yang tidak terjual dan berkait rapat dengan segmen harga. Kalau dua, tiga tahun lalu biasanya segmen harga yang lebih tinggi mungkin lebih daripada RM250,000.

“Justeru, kerajaan sentiasa cuba untuk kongsikan data-data yang ada supaya pihak pemaju kalau hendak melaksanakan sebarang projek pembangunan sangat penting untuk mereka membuat kajian pasaran.

“Kalau rumah tidak terjual pemaju yang perlu menghadapi masalah atau keadaan itu. Jadi, pemaju perlu meneliti target group (kumpulan sasaran) supaya tawaran yang disediakan berpadanan dengan keperluan yang ada di market (pasaran),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) baharu di Dewan Kaunselor, MPM pada Selasa.

Dalam pada itu, Shy Ching turut menjelaskan situasi bagi rumah siap yang tidak terjual dan projek pembangunan terbengkalai adalah berbeza.

Katanya, jika terdapat masalah projek terbengkalai, kerajaan akan cuba membantu dengan mengenal pasti apakah isu yang menyebabkan projek itu tidak dapat diteruskan dan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.

“Kita ada task force dan sebagainya untuk bantu selesai (projek terbengkalai) sebab ini melibatkan pembeli yang sudah membeli (rumah) dengan membayar ansuran tetapi rumah itu masih tidak siap sehingga menyebabkan pembeli ada masalah dan masih perlu menyewa.

“Jadi, kerajaan secara aktif memang mengambil bahagian untuk cari solusi. Bagaimanapun, untuk rumah siap tidak terjual, keputusan terletak di tangan pemaju.

“Apabila berlaku rumah yang tidak terjual, kerajaan dapat bantu dengan berkongsi statistik serta mengingatkan pemaju supaya menyediakan rumah selepas membuat kajian yang teliti supaya menepati keperluan,” jelasnya.

Beliau berkata, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP) juga dari semasa ke semasa berkongsi data permohonan rumah yang dikumpul supaya pihak pemaju mendapat gambaran jelas sebelum melaksanakan projek perumahan.

“Bagi isu harga rumah tidak terjual, memang jarang kerajaan secara aktif hendak tetapkan harga untuk pemaju atau beli rumah itu.

“Cuma dari segi polisi kita nampak rumah sekarang yang paling laku adalah rumah kos rendah, jadi kita memang galakkan pemaju kalau boleh bangunkan rumah tersebut kerana memang dijamin sambutan sangat bagus,” ujarnya.

Shy Ching berkata, mengikut Dasar Perumahan Negeri setiap pemajuan skim perumahan melebihi 20 ekar untuk menyediakan 10 peratus rumah kos rendah, 10 peratus rumah kos sederhana, dan 20 peratus rumah mampu milik yang dijual pada harga serendah RM90,000 seunit.

“Sehubungan itu, kita ambil peluang dalam dasar tersebut supaya pemaju memperbanyakkan projek pembangunan rumah di segmen ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perak mencatatkan unit kediaman yang sudah siap dibina tetapi tidak terjual atau ‘overhang’ tertinggi di Malaysia sepanjang 2023 dengan 17.8 peratus atau 4,598 daripada sejumlah 25,816 unit seluruh Malaysia. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Majoriti rumah tidak terjual di Perak berharga RM200,000 ke atas

Dashboard Data Perumahan Negeri Perak bakal dilaksanakan tahun ini

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI