TAPAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menzahirkan keyakinan bahawa, Dr Mohamad Yusri Bakir bakal memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, 26 April ini.
Beliau berkata, ia berdasarkan pemantauan yang dibuatnya melalui pertemuan dengan pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang membuat pengakuan bakal mengundi calon BN yang lebih mesra disapa Ustaz Yusri.
“Saya boleh katakan kami menang, InsyaAllah. Saya semalam mengadakan mesyuarat dan boleh dikatakan selang semalam saya akan adakan mesyuarat dan pemantauan sendiri.
“Saya yakin, InsyaAllah jika pengundi-pengundi yang kita temui itu jujur membuat perakuan akan mengundi kita maka saya yakin calon BN akan memenanginya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Sejati Madani Impian Jadi Realiti di Dewan Orang Ramai Kampung Kenangan Bidor, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, mengulas mengenai manifesto calon BN Ustaz Yusri yang diumumkan pagi Ahad, Saarani berkata, apa yang ditawarkan calon nombor satu itu merupakan yang terbaik kepada pengundi di Ayer Kuning.
“Saya katakan kepada calon bahawa dia juga perlu ada hasrat, keinginan dan visi kerana sebagai YB (Yang Berhormat) walau dasar dibuat negeri sebagai peribadi calon boleh memberi janji dan harapan kepada pengundinya.
“Saya juga beritahu kalau hendak buat (manifesto) jangan berlebihan hanya boleh berjanji benda yang kita boleh buat sahaja memandangkan dia hanya ada tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.
Terdahulu calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, Ustaz Yusri menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran utama dalam manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’. -MG Perak