IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis memproses produk makanan ringan disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah di Kawasan Industri Jelapang, di sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan penguat kuasa KPDN Perak turut merampas produk makanan ringan ‘Salted Egg Salmon Skin’ bernilai RM88,582.50 dalam operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi itu.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan susulan maklumat awam dan risikan oleh pihak KPDN Perak berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan perindustrian tersebut yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis ini sedang beroperasi dengan memproses produk ‘Salted Egg Salmon Skin’.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal dan seorang wanita tempatan yang disyaki pengurus premis turut hadir bagi membantu pemeriksaan.
“Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah dan pengurus premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakukan apabila diminta KPDN.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil dengan menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kamaluddin berkata, kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama.
“Jika sabit kesalahan boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” ujarnya.
Katanya, produk makanan ringan ini didapati dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna.
Justeru, Kamalludin menasihati dan menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuatkuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kilang proses cili kisar kena serbu, guna logo halal tak sah