IPOH – Seorang wanita parah manakala dua cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam seramai 20 anggota dan pegawai melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Meru Raya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan lima buah kereta dan dua buah motorsikal membabitkan lapan orang mangsa.
“Terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita telah terbalik ke susur jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah.
“Selain itu, terdapat dua orang mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Avantiz mengalami kecederaan ringan.
“Manakala empat orang mangsa yang memandu kereta yang berasingan dan seorang penunggang motorsikal jenis Yamaha Y15 tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan size-up dan seterusnya mengarahkan anggota membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil mangsa yang cedera parah untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Dua orang mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” ujarnya.
Operasi tamat sepenuhnya jam 11.49 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: