IPOH – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak merangka modul khusus ‘Ops Strike’ yang akan menjadi kerangka pelaksanaan program pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja terutama murid sekolah di seluruh negeri.
Pengerusinya merangkap Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, modul berkenaan dijangka siap dalam tempoh terdekat dan akan menjadi kerangka pelaksanaan program pencegahan secara lebih tersusun mulai tahun hadapan.

“Menerusi Ops Strike ini kita akan cari individu yang berpotensi untuk menjadi jurulatih bagi program PEMADAM dan seterusnya mengadakan kolaborasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk masuk ke sekolah-sekolah khususnya sekolah menengah dan sekolah rendah.
“Latihan sebagai jurulatih PEMADAM daerah akan dimulakan pada tahun ini sebagai persediaan sebelum Ops Strike yang melalui kerangka terkini dapat dilaksanakan secara menyeluruh nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Aspirasi Murid Cemerlang Tanpa Dadah (ASCEND) dan Program School Anti-bullying Framework For Empowerment (SAFE) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid di PPD Kinta Utara, Roslan Yahaya serta, Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Norelawati Jawahir.
Mohd Azlan berkata, pendekatan baharu itu diperlukan bagi memastikan program pencegahan berkenaan tidak lagi dilaksanakan secara bermusim atau sekali sahaja, sebaliknya mempunyai perancangan berterusan mengikut keperluan.
Ujar beliau, PEMADAM negeri juga bercadang menetapkan takwim sasaran sekolah bagi setiap daerah bermula tahun hadapan, selain menyediakan penceramah tetap yang boleh melaksanakan program berdasarkan modul yang dibangunkan.

“Lazimnya program seumpama ini berunsur ‘one-off’. Justeru kita kena pastikan program pencegahan dadah ini dilaksanakan secara sistematik dan berkala, bukan hanya ada program pada minggu tertentu sahaja.
“Dengan adanya penceramah PEMADAM tetap di daerah menggunakan kerangka yang kita dasarkan ini, lebih mudah untuk kita melaksanakan program secara berterusan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan modul berkenaan akan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk PPD, polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mohd Azlan berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan kandungan pendidikan pencegahan yang disampaikan kepada murid bersesuaian dengan cabaran semasa, termasuk kemunculan dadah jenis baharu yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’.
“Dadah jenis baharu dan jenis yang diisi dalam vape menjadi cabaran untuk kita semua. Kerajaan negeri juga telah mengharamkan penjualan vape di Perak dan PEMADAM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak sekolah untuk mengatasi perkara tersebut,” jelasnya.
Mengulas tentang program ASCEND dan SAFE, Mohd Azlan berkata, kedua-duanya mempunyai matlamat yang selari kerajaan negeri dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat kepada murid sekolah.
Tegas beliau, kempen kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah dan antibuli perlu dilaksanakan secara berterusan kerana kewujudan program semata-mata tidak menjamin isu berkenaan dapat dihapuskan sepenuhnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dengan memantau perkembangan anak serta menjadi rakan yang bersedia mendengar masalah mereka.
“Perkara seperti Ini bermula di rumah. Ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab semata-mata kepada guru, JPN atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka perlu bersama-sama dalam usaha ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis Perak rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.32 juta


