Polis Perak rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.32 juta

IPOH – Polis Perak telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.32 juta bermula Januari sehingga 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dadah jenis syabu, ekstasi, heroin dan ganja mencatatkan jumlah rampasan tertinggi di negeri ini.

Menurutnya, bagi Bahagian Perundangan pula, sebanyak 4,529 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,327 kertas siasatan telah dituduh, iaitu pencapaian sebanyak 96 peratus.

“Bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah, tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM4.35 juta,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di pekarangan parkir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi berkata, JSJN IPK Perak berjaya menangkap 12,916 pesalah dadah bagi tempoh yang sama.

“Bagi tangkapan pengedaran dadah, seramai 1,934 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengedar dadah iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus atau 139 orang berbanding seramai 1,795 orang bagi tempoh sama pada 2025.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 299 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup,” ujarnya.

Katanya, seramai 68 orang pula telah ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 yang kebanyakannya adalah dalang atau pun perancang serta financier dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada 2026.

“Bagi tangkapan memiliki dadah, seramai 4,482 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak 0.01 peratus berbanding 4,509 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2025,” jelasnya.

Tambahnya, bagi tangkapan urin pula, seramai 6,432 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak 4 peratus berbanding 6,697 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dadah lebih RM18,000 ditemui dalam lokap, konstabel ditahan bantu siasatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI