BATU GAJAH – Watak ‘Daredevil’ dalam siri komik terbitan Marvel memaparkan seorang adiwira yang lincah dan tangkas beraksi menentang kejahatan dalam keadaan cacat penglihatan.
Azhar Ibrahim, 40, walaupun tidak bergerak tangkas seperti karakter dalam komik berkenaan, namun kebolehannya dmembaiki motosikal cukup mengkagumkan di sebalik masalah penglihatan yang dialaminya sejak kecil.
Melangkah masuk ke ruang bengkel motosikalnya yang terletak di Kampung Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Azhar yang mesra disapa ‘Yob’, menyambut MG Perak dengan senyuman mesranya.
Azhar berkata, ruang kecil itulah yang menjadi tempat dia mencari rezeki dengan mengambil upah seperti membaik pulih bahagian luar dan enjin motosikal, menukar tiub serta menukar minyak hitam motosikal.
Mengimbas kembali ketika waktu kecilnya, anak kelima daripada enam beradik itu berkongsi kisah bagaimana dia disahkan mengalami kecacatan penglihatan selepas dua hari dilahirkan.
“Keluarga ada cuba ikhtiar untuk dapatkan rawatan dan pembedahan di hospital untuk saya, namun doktor memaklumkan bahawa ia tidak boleh dilakukan memandangkan selaput telah ada pada mata saya.
“Jadi memang sejak daripada kecil saya memang tidak nampak orang besar mana, atau warna apa. Kalau saya pakai baju pun, saya hanya ambil sahaja tanpa tahu ia warna apa,” katanya ketika ditemui MG Perak di bengkelnya.
Azhar berkata walaupun dirinya ada kekurangan penglihatan, dia mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat serta mempunyai deria pendengaran yang cukup tajam kepada bunyi-bunyian terutama deruman enjin motosikal.
Bermula dengan belajar membaiki motosikal Honda EX5 dengan dibantu ayah saudara dan rakan-rakan, Azhar berjinak menceburi bidang perniagaan membaiki motosikal di bawah rumah keluarganya itu.
“Saya mula berminat pada bunyi-bunyian enjin motosikal ini pada umur 10 tahun dan pada usia 17 tahun, saya mula belajar secara serius cara membaiki motosikal dengan rakan-rakan, sebelum mengusahakan bengkel motosikal di bawah rumah.
“Minat saya pada bunyi-bunyian motosikal ini timbul apabila saya dengar kenapa ada motosikal yang datang ke bengkel bunyi lain, kemudian motosikal yang lain pula bunyi lain. Rasa ingin tahu itu makin hari, makin tinggi,” katanya lagi.
Kehidupan berubah
Azhar berkata kehidupannya mula berubah selepas ada dalam kalangan rakan-rakannya berkongsi cerita dan gambar-gambarnya membaiki motosikal di rumahnya di laman sosial Facebook kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, selepas perkongsian rakannya itu tular di media sosial, dia mula didatangi pelbagai pihak antaranya daripada agensi kerajaan, swasta, media termasuk menerima kehadiran Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu iaitu Datuk Mahfuz Omar di bengkelnya pada sekitar tahun 2019.
Menurut Azhar, Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) merupakan penyumbang terbesar peralatan-peralatan membaiki motosikal selain menaik taraf bengkel yang kesemuanya dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.
“Saya amat bersyukur atas bantuan yang saya terima selama ini, kerana sebelum kisah saya tular di media sosial saya agak susah untuk mohon dapatkan bantuan bagi peralatan bengkel saya.
“Pernah saya datang ke pejabat sebuah agensi, saya minta untuk mereka datang ke bengkel dan lihat bagaimana cara saya bekerja. Namun sampai ke sudah tidak mereka datang, dan saya anggap permohonan saya tidak dilayan.
“Kemudian, mereka minta untuk saya buat surat petisyen pula. Saya ini orang kampung, ketika itu mana saya tahu hendak buat surat petisyen. Sepatutnya merekalah yang datang ke bengkel untuk buat penilaian terhadap saya,” katanya yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, Azhar berkata dia turut pernah dipandang serong oleh sesetengah penduduk setempat yang meragui kebolehannya dalam membaiki motosikal dek kerana matanya tidak boleh melihat dengan sempurna.
“Sebelum ini orang fikir bolehkah OKU cacat penglihatan seperti saya ini mampu untuk baiki motosikal kerana mereka anggap individu seperti saya ini hanya boleh menjual tisu sahaja.
“Namun, apabila keluarga dan rakan-rakan terus beri sokongan, ditambah dengan liputan media-media tempatan, baru semakin ramai mempercayai kebolehan saya ini. Malah pernah saya menerima kehadiran pelanggan dari Terengganu yang meminta untuk saya membaiki motosikal miliknya,” kata Azhar.
’Ini kebesaran ALLAH’
Lelaki bertubuh kecil ini tidak dapat menjawab apabila diajukan soalan bagaimana dia mampu untuk membaiki motosikal dalam keadaan dirinya tidak sempurna daya penglihatan.
Namun, Azhar berkata dia yakin segala yang berlaku ke atas dirinya adalah ketentuan dan anugerah ALLAH SWT ke atas dirinya.
“Saya memang tidak ada hadir ke mana-mana kelas membaiki motosikal secara formal, melainkan minat saya yang mendalam dan inisiatif saya untuk belajar sendiri cara-caranya.
“Saya tidak tahu ini kelebihan atau apa, namun saya percaya ini adalah kebesaran ALLAH. Walaupun saya tak nampak, saya tetap boleh membaiki motosikal yang rosak sehingga boleh berfungsi seperti asal,” ujarnya yang memegang kepada prinsip ikhlas ketika bekerja.
Dalam pada itu, Azhar turut menitipkan pesanan dan nasihat ringkas terutama kepada insan yang lebih sempurna anggota tubuh badan supaya lebih bersyukur dan berusaha dengan lebih baik bagi memajukan diri.
“Saya bukan hendak cakap besar atau apa, tetapi (disebabkan kekurangan daya penglihatan), saya hanya ada satu sahaja kemahiran sahaja iaitu membaiki motosikal. Mereka di luar yang lebih sempurna daripada saya sepatutnya tidak ada alasan untuk usaha membaiki diri.
“Saya faham, mungkin ada yang sukar untuk dapatkan pekerjaan, akan tetapi takkan tak ada satu pekerjaan yang boleh diusahakan. Rezeki Allah ini luas, dan sepatutnya kita boleh usahakannya dengan tanpa memberi alasan,” katanya lagi. -MG Perak
BACA SETERUSNYA: ‘Kabin kecil’ pakcik Osman, si tukang kasut
BACA SETERUSNYA: Harap nama limau Tambun jadi ‘hak eksklusif’ Perak
[…] ‘Sebelum cerita saya ‘viral’, susah nak dapat bantuan’ – Mekanik buta […]