Seksyen 11 WCE dibuka, tol percuma dua bulan

TAIPING – Seksyen 11 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bermula jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut mengumumkan tol percuma bagi tempoh dua bulan bermula 12 Mac sehingga 11 Mei 2024 kepada pengguna Seksyen 11 WCE bersempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Alexander, pemberian tol percuma selama dua bulan bagi pengguna Seksyen 11 WCE merupakan tempoh paling lama pernah diberi oleh mana-mana syarikat konsesi lebuh raya dalam negara.

“Pemberian tol percuma ini telah dipersetujui oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi WCE bersama dengan permohonan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memohon agar pemberian ini dapat dilaksanakan.

“Kebiasaannya kita beri tol percuma sebulan atau sebulan lebih sedikit tetapi kali ini kita beri dua bulan kerana bulan pertama adalah Ramadan dan bulan kedua pula Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Pembukaan Seksyen 11 Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas di Plaza Tol Taiping Selatan, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, WCE merupakan lebuh raya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering, Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 kilometer (km) dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor.

Ujar Alexander Lebuhraya WCE Seksyen 11 yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 35.5 km yang menghubungkan pengguna secara terus dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Changkat Jering ke Beruas, Perak.

“Pembukaan WCE Seksyen 11 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit sahaja berbanding 55 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

“Pengurangan masa perjalanan ini pastinya memberikan penjimatan kos bahan api bagi pengguna yang menuju ke selatan Perak sehingga ke Selangor dan juga merupakan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

WCE Beruas-Taiping Selatan, dijangka dibuka menjelang Aidilfitri

Perak tubuh Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi bantu rakyat terima limpahan WCE

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI