Semua parti politik dibenar guna Dewan Orang Ramai – Saarani

IPOH – Semua parti politik diberi kebenaran menggunakan dewan orang ramai di kawasan masing-masing melalui kaedah sewaan dalam membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menjana pendapatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun kerajaan negeri memberi kebenaran kepada JPKK untuk membuat peraturan sendiri bagi kaedah penggunaan.

“Pengurus sebenar bagi dewan orang ramai adalah JPKK, jadi bila ada badan dan agensi (kerajaan) yang ingin guna boleh diberi percuma (tidak perlu bayar sewa) tapi bil air dan api bolehlah bayar kepada JPKK.

“Tapi boleh kenakan sewa kalau ada orang nak buat kenduri atau ada badan-badan lain termasuk badan perniagaan dan parti politik yang nak pakai dengan kadar sewa dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Kursus Pemantapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tahun 2024, di Dewan Banquet, Banggunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai perlantikan 828 Pengerusi JPKK di kampung tradisional dalam Perak, Saarani berkata, seramai 817 orang telah dilantik oleh kerajaan negeri setakat ini.

Ujar beliau, baki 11 orang lagi belum dilantik atas beberapa faktor termasuklah faktor usia serta tidak melepasi tapisan yang dibuat pihak polis.

“Macam saya sebutkan tadi, calon-calon tersebut hendaklah ditapis terlebih dahululah termasuklah faktor usia tidak boleh lebih daripada 65 tahun.

“Yang kedua calon-calon ini dihantar kepada polis untuk disemak sama ada mereka mempunyai kes jenayah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta bukan penerima E-Kasih,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

MGPerak: Belanjawan Perak 2024 Elaun Ketua Kampung Naik Kepada RM300

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI