LEBIH lima tahun berkhidmat di Perak, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Abd Rashid Abdullah terus berbakti dalam memartabatkan budaya, seni dan warisan negeri ini lebih-lebih lagi kepada generasi muda.
Bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, persepsi masyarakat menganggap JKKN sebagai ‘tari-menari’ apabila mendengar nama jabatan itu perlu diubah.
Mereka perlu diberi penerangan bahawa JKKN bukan sekadar tarian tetapi mendidik serta memartabatkan kebudayaan dan kesenian negara.
Editor Malaysia Gazette (MG) Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said sempat menemubual Abd Rashid yang berkongsi peranan JKKN Perak dalam memartabatkan kebudayaan dan kesenian di negeri ini.
Abd Rashid yang juga graduan dalam bidang kesenian teater turut berkongsi rancangan serta sumbangan beliau bagi memastikan seni, budaya dan warisan terus kekal relevan.
Boleh tuan kongsikan fungsi dan peranan JKKN Perak.
Apabila kita menyebut nama JKKN tidak dinafikan ada segelintir pihak beranggapan bahawa jabatan ini merupakan jabatan tari menari dan itulah sebutan di mana-mana.
Tetapi hakikatnya JKKN itu merupakan sebuah agensi yang mempunyai peranan tersendiri dan pada saya cukup besar kerana apabila bercerita mengenai kebudayaaan sebenarnya ia meliputi keseluruhan cara hidup kita termasuk apa yang kita laksanakan dalam konteks seharian.
Selain daripada itu, JKKN juga berperanan mengangkat dan memartabatkan seni warisan yang merupakan identiti kita dan kerana itu ia perlu dipelihara dengan melaksanakan pondokumentasi agar kesenian tradisional yang sudah tidak dipopularkan tidak luput.
JKKN Perak turut melaksanakan program bimbingan seni budaya dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di mana kita menghantar jurulatih ke sekolah bagi mengajar kesenian tradisional dalam bidang tarian, muzik, teater, seni berbahasa dan permainan tradisional.
Diperingkat masyarakat pula kita melaksanakan program perantisan di mana kita pergi kepada rakyat dengan mengadakan bimbingan kesenian seperti perantisan dabus, gendang siam di Pengkalan Hulu dan Tarian Lenggok di Bagan Datuk.
Kita mengajar masyarakat setempat mengenai kesenian ini agar ia terus diamalkan dan terus wujud tidak ditelan zaman.
Lima tahun berkhidmat di Perak, boleh tuan berkongsi kejayaan diperoleh.
Secara umumnya apa yang saya lakukan adalah meningkatkan pemahaman masyarakat kita mengenai seni budaya dengan melaksanakan pelbagai program turun ke daerah dan institusi pendidikan di Perak.
Alhamdulillah mereka mula melihat JKKN bukan berperanan terhadap kesenian itu semata-mata malah melalui aktiviti yang dijalankan seperti Budi@Seni di peringkat sekolah berjaya mendekati pelajar-pelajar dalam memupuk nilai murni.
Di sini kita dapat lihat mungkin persepsi sedemikian datang kerana masyarakat tidak faham fungsi sebenar JKKN dan bila kita adakan pelbagai program dan aktiviti ia memberi mereka pemahaman sebenar.
Saya juga sering mengingatkan kakitangan JKKN agar tidak hanya memberi penekanan semata-mata kepada kesenian di dalam program tetapi perlu memperlihatkan impak positif lain melaluinya.
Kita tahu nilai-nilai murni telah diajar di sekolah tetapi kita cari ruang dalam bidang seni bagaimana untuk terus memupuk ia melalui pengisian program.
Contohnya, dalam permainan congkak yang menekankan kejujuran di mana boleh sahaja kita menipu meletakkan lebih daripada sebiji guli atau batu dalam setiap lubang tetapi atas sebab jujur ia tidak dilakukan.
Begitu juga, saya melihat dalam konteks keseluruhan pelaksanaan program JKKN perlu memastikan identiti masyarakat yang membawa nilai budaya ditonjolkan.
Sepanjang di Perak, saya juga cuba memenuhi setiap keperluan masyarakat, penggiat seni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan membantu sebaik mungkin untuk mereka memperoleh apa yang diperlukan.
Misalnya, menolong mereka mencari dana agar boleh menjalankan aktiviti dan membantu JKKN dalam merancakkan lagi kebudayaan dan kesenian di Perak.
Ramai pihak khuatir seni, budaya dan warisan bakal dilupakan ekoran ledakan teknologi, apa pandangan tuan?
Apabila bercerita tentang seni warisan memang tidak akan pernah terlepas daripada kerisauan orang-orang lama terutamanya bahawa ia bakal hilang ditelan zaman lebih-lebih lagi di zaman ledakan teknologi ini.
Ya, saya tidak nafikan ia akan berlaku sekiranya tiada langkah drastik diambil semua pihak dalam memastikannya terus kekal dan jika kita bijak mengambil peluang menggunakan teknologi ia pasti dapat dikekalkan.
Contohnya, menghasilkan aplikasi menggunakan notasi bermain gamelan ia dapat membantu anak-anak mengetahui muzik berkenaan namun program dilapangan juga perlu diadakan bagi memberi pendedahan kepada mereka apa itu gamelan.
Sebab itu macam saya katakan, JKKN Perak menyediakan bimbingan tidak formal namun sistematik di mana kita ke sekolah dan mengajar pelajar-pelajar ini menggunakan jurulatih yang mempunyai sijil dalam seni budaya yang diiktiraf.
Kita ajar anak-anak yang merupakan pelapis kita di sekolah supaya mereka tahu dan kenal selain diberi ruang menonjol bakat masing-masing di dalam pertandingan, festival yang dianjurkan.
Dengan adanya pertandingan saya lihat para penggiat seni ini terus bergiat dengan mengadakan latihan dan inilah yang akan terus menghidupkan seni, budaya serta warisan kita.
Rancangan serta harapan dalam memastikan seni, budaya dan warisan kekal relevan.
Saya menaruh harapan agar JKKN Perak memastikan seni budaya kita kekal relevan bila-bila masa dengan melihat skop kerjanya yang bukan semata-mata hiburan sahaja.
JKKN perlu melihat keperluan masyarakat secara keseluruhan kerana tidak dinafikan melalui seni budaya kita dapat mewujudkan perpaduan kaum, memupuk nilai-nilai murni serta memberi impak positif.
Seni budaya juga penting memastikan perpaduan antara kaum selain memperlihatkan identiti negara kita termasuklah produk pelancongan yang menjadi tarikan kepada pelancong.
Kita boleh lihat pelancong dari pelbagai negara yang berkunjung ke Malaysia begitu teruja mencuba budaya dan seni yang kita ada seperti memakai kain pelekat, perkahwinan tradisional masyarakat Melayu dan lain-lain.
Melihat situasi ini saya merasakan sektor seni dan budaya akan tetap relevan dalam apa jua konteks untuk menjana ekonomi penggiat setempat selain mewujudkan medium baharu bagi menyemai nilai murni dan perpaduan.
Inilah yang JKKN perlu pastikan berlaku selain daripada aktiviti penyemarakkan serta pembangunan perantisan penyelidikan agar persepsi masyarakat bahawa kebudayaan bukan tari menari dapat diubah. -MG Perak
VIDEO:
MGPerak: JKKN Mengangkat Seni Warisan Bukan Sekadar Tari – Menari
MGPerak: JKKN Mengangkat Seni Warisan Bukan Sekadar Tari – Menari
Artikel Berkaitan:
320 pelajar ikuti Klinik Seni Budaya Tarian Dabus