LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat yang menerima Anugerah Seniman Negara kesembilan pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, anugerah yang diterima Seniman Diraja Perak itu sebagai satu kebangaan buat negeri.
“Kita turut bersyukur dan merasa bangga ke atas penganugerahan serta pengisytiharan itu.
“Maka kita mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi kepada Datuk Lat. Beliau adalah kebanggaan Negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan Daerah Lenggong, di Resort Tasik Raban dekat sini, pada Jumaat.
Pada Rabu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan Anugerah Seniman Negara kesembilan kepada Datuk Lat pada Majlis ASN 2024, di Ibu Negara.
Kartunis tersohor kelahiran Kota Bharu, Gopeng itu menerima wang tunai sebanyak RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan.
Di samping itu, beliau turut dianugerahkan status sebagai Seniman Tamu Kementerian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta insentif untuk meneruskan karya seni dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.
Dalam majlis sama, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima Anugerah Khas Biduanita Negara 2024 yang disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Berkecimpung selama 60 tahun dalam dunia kartun, Lat mendapat pelbagai pengiktirafan dan gelaran antaranya Tokoh Warisan Orang Hidup, Ikon Budaya, Wira Budaya, Anak Malaysia dan Seniman Rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Datuk Lat zahir penghargaan terima Watikah Gelaran Seniman Diraja