Datuk Lat zahir penghargaan terima Watikah Gelaran Seniman Diraja

KUALA KANGSAR – Kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid, atau Datuk Lat menzahirkan perasaan bangga apabila dapat berbakti kepada negeri dan negara melalui karya-karyanya yang turut mendapat perhatian di peringkat antarabanga.

Pelukis kartun terkenal ‘Kampung Boy’ itu berkata walaupun namanya dikenali di luar negara melalui hasil seninya, namun beliau tidak sesekali melupakan tanah kelahirannya di Perak.

“Walau apa juga pekerjaan, kita harus melakukannya dengan berbakti kepada negara. Saya misalnya, walaupun sering ke luar negara, saya tidak pernah melupakan kampung halaman saya.

“Malah ketika saya berkerja di Kuala Lumpur, perasaan sayang kepada kampung halaman itu sentiasa ada, dan saya meluahkannya melalui lukisan-lukisan kartun yang saya hasilkan.

“Dan sampai hari ini, saya tidak pernah terfikir lukisan rumah tradisional Perak iaitu Rumah Limas (dalam komik Kampung Boy) dibina di Galeri Rumah Lat di Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Watikah Gelaran Seniman Diraja dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah, dekat sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Lat menzahirkan ucapan berbangga dan penghargaan atas perkenan baginda mengurniakan beliau watikah berkenaan.

datuk lat kuala kangsar perak seniman diraja perak kampung boy
Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat menerima watikah gelaran Seniman Diraja pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 NOVEMBER 2023.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja kepada Datuk Lat pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.

Sebelum ini, Sultan Perak telah memasyhurkan Datuk Lat sebagai Seniman Diraja ketika Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di Batu Gajah pada 8 Julai lalu.

Baginda bertitah pengumuman itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Datuk Lat, 72, yang dilahirkan pada 5 Mac di Kota Bharu, Gopeng memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Kota Bharu, Perak pada tahun 1958.

Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Pasir Putih, Ipoh pada 1962 sebelum mengikuti pengajian peringkat menengah di Sekolah Anderson pada tahun 1965.

Datuk Lat mula melibatkan diri dalam dunia lukisan kartun seawal usia lapan tahun selain menjadikan karya-karya komik Raja Hamzah sebagai sumber ilham.

Beliau memulakan siri kartun ‘Keluarga Si Mamat’ yang disiarkan dalam Berita Minggu pada tahun 1968 sebelum ia terus disiarkan pada akhbar sama, setiap minggu sehingga tahun 1994.

Datuk Lat mula dikenali sebagai kartunis editorial yang menggarap tema sosiopolitik pada tahun 1975 menerusi ruangan “Scenes of Malaysian Life” dalam akhbar The New Straits Times (NST).

Pada tahun yang sama, pihak penerbit akhbar tersebut telah menghantar Beliau ke London, United Kingdom untuk mendalami lukisan figura di Sekolah Seni St. Martin.

Menjelang akhir tahun 1975, Datuk Lat dilantik sebagai kartunis sepenuh masa, setelah lebih lima tahun bertugas sebagai wartawan jenayah akhbar NST.

Bermula pada tahun berkenan, karya-karya seni Datuk Lat mewarnai serta menjadi tarikan utama kepada akhbar berkenaan. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Datuk Lat Bangga Dikurnia Watikah Seniman Diraja

MGPerak: Datuk Lat Bangga Dikurnia Watikah Seniman Diraja

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI