IPOH – Seorang parah, manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 251.9 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara antara laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar pada pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 7.59 pagi.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan melibatkan masing-masing sebuah lori jenis Mitsubishi, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Everest dan sebuah treler
“Sejurus menerima panggilan kecemasan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan daripada BBP Meru bergegas ke lokasi kemalangan di Terowong Menora dan tiba 22 minit kemudian..
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang mengakibatkan pemandu lori cedera parah manakala dua mangsa lain yang menaiki treler dan SUV cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota bomba mengaplikasikan konsep saver serta menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang cedera dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Meor Kamarul Hasnim Bahiran tamat jam 2.05 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pejalan kaki parah tersepit bawah kereta selepas dilanggar BMW
[…] Seorang parah, dua cedera membabitkan nahas tiga kenderaan […]