‘SAC Saiful’ Gerak Khas terlibat kemalangan jalan raya

BATU GAJAH – Seorang pesara pegawai kanan polis yang juga pelakon drama siri terkenal, Gerak Khas, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif, 61, terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di simpang tiga Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, bekas Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang turut pernah memegang watak sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) Saiful dalam drama tempatan berkenaan mengalami cedera ringan.

Isterinya, Datin Norasmariah Basri, 46, yang turut terbabit dalam kemalangan itu selamat namun turut mengalami kecederaan sama.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pasangan yang menaiki kereta jenis Proton Perdana itu telah dirujuk ke Hospital Pakar Komuniti Perak selepas kedua-dua mereka mengalami sakit pada bahagian dada.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian yang turut membabitkan dua kereta lain jenis Perodua Kancil dan Perodua Kelisa itu pada jam 4.14 petang Sabtu.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi mendapati dua kereta berkenaan sedang bergerak dari arah Tanjung Tualang menghala ke Batu Gajah.

“Sampai di lokasi kejadian, Perodua Kelisa yang dinaiki empat sekeluarga telah memperlahankan kenderaan bagi membelok ke simpang kanan, namun ia telah dirempuh dari arah belakang oleh Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki.

“Akibat daripada rempuhan itu, Perodua Kelisa berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah Proton Perdana yang sedang bergerak,” katanya di sini, pada Ahad.

Mohamad Roy berkata kesemua mangsa dalam nahas itu mengalami kecederaan dengan pemandu Perodua Kelisa dan Kancil telah dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan susulan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang parah, dua cedera membabitkan nahas tiga kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI