Seorang rentung, tujuh lagi selamat dalam kebakaran rumah

MANJUNG – Seorang lelaki rentung manakala tujuh ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini,awal pagi tadi.

Mangsa dikenali Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima pasukan bomba pada jam 2.40 pagi.

Menurut beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Manjung digerakan ke lokasi dan mendapati berlakunya kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat yang musnah terbakar 60 peratus.

“Terdapat seorang mangsa lelaki ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah manakala tujuh lagi mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketua operasi kemudiannya melaksanakan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) seterusnya membuat pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Operasi yang disertai 18 anggota dari BBP Sitiawan dan Seri Manjung itu tamat pada jam 5.16 pagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI