Serangan balai polis: Bapa harap surau baharu dinamakan Surau Al-Fahmi

TAPAH – Keluarga kepada salah anggota polis yang terkorban dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu, menzahirkan harapan untuk nama Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dapat diabadikan pada bangunan baharu surau di Kampung Poh Tambahan, Bidor, dekat sini.

Bapa Allahyarham, Azhar Khaiden, 54, berkata, hasrat ke atas surau yang akan dibina itu telah disampaikan kepada Menteri Besar Perak ketika Datuk Seri Saarani Mohamad hadir pada majlis tahlil di kediamanya Sabtu lalu.

Katanya, sebelum ini dia sendiri telah membuat permohonan untuk pembinaan surau baharu itu kira-kira dua tahun lalu dan kini, dimaklumkan kerajaan negeri telah meluluskannya melalui peruntukkan RM400,000.

Serangan balai polis Bapa harap surau baharu abadikan nama Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar Khaiden Balai Polis Ulu Tiram Kampung Poh Tambahan Bidor
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad menyantuni waris Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang maut dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, di kediaman ahli keluarga Allahyarham di Kampung Poh Tambahan, Bidor.

“Dengan tragedi yang menimpa anak saya, ia telah menjadi asbab Menteri Besar Perak sampai ke rumah saya ini.

“Justeru, pada bangunan surau baharu itu, saya berhajat dan meminta agar surau itu dapat mengabadikan nama anak saya dengan nama ‘Surau Al-Fahmi’,” katanya.

Azhar berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ziarah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad ke kediamannya di Kampung Poh Tambahan, Bidor, dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.

Difahamkan bangunan dua tingkat surau sedia ada yang terletak di kampung berkenaan telah berusia 33 tahun.

Serangan balai polis Bapa harap surau baharu abadikan nama Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar Khaiden Balai Polis Ulu Tiram Kampung Poh Tambahan Bidor
Bangunan sedia ada Surau Kampung Poh Tambahan, Bidor.

Dalam pada itu, bapa kepada lapan anak itu memberitahu permohonan satu-satunya anak lelaki yang masih ada bersamanya, Lans Koperal Ahmad Azza Fitri, 24 untuk dipindahkan bertugas ke Perak dari Sabah telah diluluskan.

Kata Azhar, anak ketiga yang juga abang kepada arwah itu telah menerima waran penempatan bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak di Ipoh, baru-baru ini.

Pada masa sama, Azhar berkata, ketika ini keluarganya reda dan menerima dengan hati terbuka terhadap pemergian Ahmad Azza Fahmi.

“Semua ini telah disusun atur oleh Yang Maha Kuasa, Pemilik Alam ini, Allah SWT. Perkara ini juga saya cuba terapkan dan tegaskan kepada anak-anak dan isteri saya untuk kami semua menerima terima kenyataan ini,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Azhar menyuarakan permintaanya kepada agar Ahmad Azza Fitri yang bertugas di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dapat dipindahkan bertugas ke Perak.

Permintaan itu disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Azhar berkata, hasrat itu supaya semgat isterinya Nor Haliza Awaluddin, 49, dapat beransur-ansur pulih.

Dalam kejadian, pada jam 2.45 pagi Jumaat lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.

Sementara seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, parah selepas ditetak dan ditembak suspek, namun kini stabil serta masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Serangan balai polis: Jenazah Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan

Saarani ziarah keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI