KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui penguatkuasaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 mengeluarkan kompaun berjumlah RM157,000 melibatkan sitaan bernilai RM40,361.57.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam berkata ia susulan daripada 1,357 kes direkodkan daripada 10,672 pemeriksaan yang dilakukan.
“Langkah ini merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat dan menangani kos sara hidup sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang telah diraikan pada 17 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahan lagi, KPDN juga mempergiatkan pemantauan secara intensif di bawah skim berkenaan bagi memastikan kestabilan harga serta mengelakkan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, antara langkah yang telah diambil adalah pemantauan dan pemeriksaan fizikal, kehadiran pegawai lokasi serta penguatkuasaan label harga berwarna merah jambu.
“Tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan pemantauan bekalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan SHMMP kali ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif hasil daripada pemantauan rapi KPDN serta maklum balas positif daripada orang ramai.
“KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan manipulasi harga yang tidak munasabah,” katanya.
Sebagai rekod, SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 berkuat kuasa selama sembilan hari bermula dari 13 hingga 21 Februari 2026. -MalaysiaGazette


