Sindiket cuci dadah: Suami isteri ditahan, nilai rampasan RM2.87 juta

IPOH – Polis menahan sepasang suami isteri selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi dengan cara mencuci dadah lama dengan nilai rampasan RM2.87 juta di sebuah rumah di Taman Assamara, Taiping, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu susulan penahan seorang lelaki berusia 39 tahun di tepi jalan kawasan Pasar Pokok Assam, pada jam 5.15 petang.

Katanya, suspek kemudian membawa pasukan ke rumah yang disewa sebelum pasukan polis menemui dan menahan wanita dipercayai isteri suspek yang berusia 26 tahun.

“Dalam serbuan terbabit pihak polis berjaya merampas enam paket lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine anggaran berat 5,063.7 gram serta cecair disyaki mengandungi dadah dengan anggaran berat 84.75 liter.

“Turut dirampas peralatan-peralatan dan bahan kimia yang dipercayai untuk digunakan bagi proses pembersihan semula dadah methamphetamine yang tidak berkualiti sebelum dijual semula ke pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di IPK Perak, dekat sini, pada Jumaat.

sindiket cuci dadah Taiping rampasan dadah Perak, polis Perak, suami isteri ditahan, methamphetamine, sindiket dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Noor Hisam Nordin, IPK Perak
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menujukkan dadah yang dirampas ketika sidang media berkaitan penahanan sepasang suami isteri disyaki terlibat dalam sindiket mencuci semula dadah dengan nilai rampasan RM2.87 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, pada Jumaat.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Menurut Noor Hisam, pihak polis mengesyaki rumah berkenaan telah dijadikan sebagai tempat untuk mencuci dadah lama yang diterima sebelum diedarkan ke pasaran di luar negeri Perak.

Kata beliau, hasil rampasan dadah terhadap sindiket yang beroperasi sejak Ogos itu mendapati ia boleh digunakan kepada 51,486 orang penagih dadah.

Noor Hisam berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas suami mendapati lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu positif dadah jenis methamphetamine manakala isteri yang juga suri rumah, negatif.

“Hasil semakan lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala supek kedua iaitu isteri tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana pihak polis menyia dua kenderaan iaitu kereta jenis Honda City milik abang ipar suspek, dan pacuan empat roda jenis Nissan Navara milik isteri suspek.

“Justeru nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan untuk operasi ini adalah berjumlah termasuk dengan aset berjumlah RM3.78 juta,” ujar beliau.

Noor Hisam memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

“Suami isteri direman tujuh hari sehingga Isnin minggu depan. Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada lagi individu lain yang terlibat dalam sindiket sama,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis tumpaskan dua sindiket dadah di Taiping, Batu Gajah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI