IPOH – Lebih 200 peluang pekerjaan bakal tersedia susulan pembukaan kilang pembuatan filem enkapsulasi solar antarabangsa Zhejiang Sinopont Technology Co. Ltd (Sinopont) yang pertama di negara ini di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kilang yang berpangkalan di China itu bakal memulakan pengeluarannya menjelang suku pertama tahun ini.
Menurutnya, beliau yakin, pembangunan fasa seterusnya bakal diwujudkan dan akan memacu lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
“ Fokus pada produksi enkapsulasi filem sel solar ini juga jelas memperlihatkan komitmen Perak terhadap penggunaan teknologi hijau dan pembangunan mapan.
“Malah ia juga selari dengan visi kerajaan negeri untuk mewujudkan hab bagi teknologi hijau dan inovasi di bawah Flagship 12 Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Sinergi yang wujud antara Sinopont dan Negeri Perak ini adalah langkah ke hadapan negeri yang bukan sahaja membabitkan aspek ekonomi, bahkan turut menekankan aspek pembangunan komuniti yang lebih kukuh, sejahtera dan mapan dalam membentuk masa hadapan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Kilang Sinopont di Kawasan Perindustrian Tasek, dekat sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak serta Pengerusi Sinopont, Xianglai Cao.
Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau dimaklumkan kilang Sinopont berupaya menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt (GW).
Menurut beliau, kepercayaan Sinopont yang memilih Perak sebagai pusat operasi pengembangan perusahaan di negara ini memperlihatkan potensi dan kestabilan negeri ini.
Tambah Saarani, ia juga menyerlahkan lagi keupayaan dan kekuatan Perak sebagai destinasi menarik dan strategik untuk pelaburan global.
“Ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan negeri berdasarkan Flagship 4 Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu mewujudkan Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.
“Strategi kita antaranya adalah untuk mengurangkan kebanjiran keluar atau ‘outmigration’ modal insan dan golongan muda.
“Dengan kemasukan pelaburan projek berimpak tinggi, kita berharap dapat menawarkan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi,” ujar beliau lagi.
Pembukaan kilang berkenaan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) dan Sinopont dengan jumlah pelaburan bernilai RM2 bilion, pada Oktober tahun lalu.
Majlis MoU berkenaan diadakan di ibu pejabat Sinopont di Hangzhou, China susulan lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Saarani ke Negara Tembok Besar itu. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
InvestPerak, Sinopont meterai perjanjian pelaburan RM2 bilion