InvestPerak, Sinopont meterai perjanjian pelaburan RM2 bilion

IPOH – Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) dan Zhejiang Sinopont Technology Co Ltd (Sinopont) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi projek menghasilkan enkapsulasi filem dengan jumlah pelaburan bernilai RM2 bilion.

Majlis MoU yang disempurnakan di ibu pejabat Sinopont di Hangzhou, China itu disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Sinopont, Xianglai Cao.

Saarani berkata, pelaburan bernilai RM2 bilion oleh syarikat itu dilihat sebagai testimoni keyakinan pelabur asing untuk melabur di negeri ini.

“Justeru, kerajaan negeri akan memberi kelulusan ‘fast-track’ kepada pelabur menerusi InvestPerak dalam memastikan negeri ini  menjadi lokasi yang kondusif untuk pelabur.

“Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan hubungan baik dengan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) untuk mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pelabur di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sinopont menerusi anak syarikatnya di Malaysia, Sinopont Everthriving (Malaysia) Sdn Bhd kini dalam proses membina kilangnya di Kawasan Perindustrian Tasek di sini.

Kilang itu dijangka memulakan pengeluarannya menjelang suku pertama 2024 yang akan menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt (GW).

Pembukaan kilang itu juga dijangka mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan apabila ia siap dan beroperasi pada kapasiti penuh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Mohamad Hashim Abdul Ghani berkata, Perak yang terletak di lokasi strategik antara Pulau Pinang dan Selangor yang merupakan negeri yang terbesar dalam bidang perindustrian di Malaysia, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada negeri ini.

“Ini akan meletakkan Perak sebagai lokasi yang sesuai untuk syarikat yang mengeluarkan produk atau menyediakan perkhidmatan untuk syarikat multinasional (MNC) di Pulau Pinang dan Selangor kerana mereka boleh menembusi pasaran bagi kedua-dua negeri itu dengan lebih mudah,” ujarnya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI