TAPAH – Seorang pendaki wanita yang dilaporkan mengalami kecederaan kaki dikhuatiri hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan Jaslinda Saludin,49, pada jam 11.32 pagi semalam.
Menurutnya, seorang lagi peserta lelaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, yang menyertai ekspedisi sama mengalami sesak nafas serta muntah darah dan operasi membawa keluar mangsa sedang dijalankan anggota JBPM.
Beliau berkata, kedua-dua pendaki itu mengikuti ekspedisi pendakian itu bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang memulakan pendakian pada jam 2 pagi Sabtu lalu melalui laluan Pos Gedung – Gunung Bah Gading – Gunung Batu Putih – Kuala Woh.
“Pada jam 10 malam hari sama, Mohd Hanafi mengalami masalah pernafasan dan berhenti berehat di Kem Batu Core bersama seorang MGP dan Jaslinda.
“Seramai 12 peserta lain bersama seorang lagi MGP meneruskan perjalanan ke Puncak Gunung Batu Putih yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Kem Batu Core dengan anggaran masa pendakian selama dua jam.
“Kumpulan tersebut telah selamat keluar di Tapah pada jam 1 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sekitar jam 4 petang semalam, pihaknya menerima maklumat daripada MGP bersama mangsa lelaki bahawa mereka masih berada di Kem Batu Core dan memaklumkan tidak mengetahui lokasi Jaslinda serta menyangka wanita itu telah meneruskan perjalanan ke puncak.
“Komunikasi terakhir diterima daripada MGP terbabit adalah pada jam 5.45 petang memaklumkan Mohd Hanafi mengalami sesak nafas dan muntah darah serta tidak mampu meneruskan perjalanan ke puncak gunung tersebut.
Beliau berkata, pada jam 4 pagi tadi, seramai tujuh orang melibatkan pasukan MGP bersama pegawai Perhutanan Perak telah mendaki ke lokasi mangsa yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan.
“Pesawat AW139 JBPM telah tiba di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor sekitar jam 9.55 pagi ini untuk sesi taklimat operasi sebelum membawa 12 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak ke Puncak Gunung Batu Putih.
“Pasukan penyelamat kemudiannya akan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan mengambil masa satu jam 30 minit sebelum membawa mangsa naik semula ke puncak gunung untuk proses pemindahan menggunakan kaedah winching oleh helikopter,” ujarnya.
Katanya lagi, mangsa kemudiannya akan diterbangkan keluar ke Kem PGA Bidor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam operasi itu, seramai 14 anggota JBPM terlibat dengan bantuan sebuah jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS-1). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dakwa kerana kepanasan, Nur Izzati turun dahulu sebelum dilaporkan hilang


