Dakwa kerana kepanasan, Nur Izzati turun dahulu sebelum dilaporkan hilang

TANJUNG MALIM – Seorang remaja perempuan yang berusia 19 tahun yang dipercayai hilang selepas sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa di sini pada Sabtu didakwa telah turun terlebih dahulu dari bukit berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Lubuk Salak, Muhamad Nor Fahmi Mohd Halin, mendakwa, Nur Izzati Humaira Azizul menuruni bukit itu terlebih dahulu kerana kepanasan dan keletihan.

“Keluarganya memaklumkan Nur Izzati turun awal kerana kepanasan. Dia mengambil kunci kereta Perodua Alza milik ayahnya yang diletakkan di kampung berhampiran untuk pergi ke kenderaan tersebut untuk memasang alat penghawa dingin bagi menyejukkan badan.

“Namun, agak pelik, selepas ibu, anak dan rakannya selesai mendaki, tidak nampak kelibat remaja perempuan berkenaan selepas itu.

“Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa rumah penduduk kampung berhampiran juga tidak menampakkan kelibatnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Lambak, di sini, pada Ahad.

Muhamad Nor Fahmi berkata, sejak mula dikomersialkan lebih 10 tahun lalu untuk aktiviti mendaki kepada orang awam, kejadian ini merupakan kali pertama membabitkan kes orang sesat atau hilang di Bukit Changkat Asa.

“Sebenarnya, bukit ini tidak terlalu tinggi dan sekiranya sesat sekalipun ada jalan raya serta kampung berdekatan. Ia sesuai untuk pendakian bagi semua orang kerana tidak terlalu mencabar.

“Malah, dua hari sebelum kejadian, malim gunung telah datang dan membersihkan laluan pendakian supaya aktiviti pendakian orang awam lebih lancar serta selamat,” katanya.

Sementara itu, pada kepada Nur Izzati Humaira, yang tidak mengikut pendakian tersebut, Azizul Abdul Aziz hanya berharap agar anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan remaja perempuan itu hanya membawa bekalan sebotol air mineral dan beberapa biji kuih karipap bersama semasa mendaki.

Media melaporkan, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemukan Nur Izzati Humaira selepas remaja itu dilaporkan tersesat semasa menuruni bukit bersama lima rakan dan ahli keluarganya pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, SAR yang dijalankan pada Ahad melibatkan kawasan seluas 0.436 kilometer (KM) persegi di sekitar kawasan Bukit Changkat Asa.

Operasi berkenaan bagaimanapun ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan bersambung semula pada jam 9 pagi Isnin. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nur Izzati Humaira hilang ketika turun Bukit Changkat Asa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI