PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara bagi tahun ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan statistik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lalu, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan adalah sebanyak 35,127 ekor, manakala bekalan yang diimport adalah sebanyak 16,845 ekor.
Menurutnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor, sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420 ekor.
Bagi bekalan kambing dan bebiri pula, tambahnya, statistik menunjukkan stok tempatan sehingga April lalu adalah sebanyak 25,815 ekor manakala bekalan yang diimport adalah sebanyak 4,232 ekor.
Ujarnya, jumlah keseluruhan bekalan bagi ternakan itu adalah sebanyak 30,047 ekor, yang mana jumlah tersebut juga melebihi unjuran permintaan semasa iaitu sebanyak 22,424 ekor.
“Melalui unjuran data ini, KPKM memberi jaminan bahawa jumlah keseluruhan bekalan ternakan dalam negara adalah amat mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia telah sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
Selain itu, ujarnya, DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 43 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 16 Mac lalu bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.
Katanya, bagi aktiviti penyembelihan korban yang ingin dijalankan di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan untuk mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar bersama dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.
“Pihak kementerian turut menyarankan agar orang ramai sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS sebagai rujukan asas bagi memastikan seluruh proses pelaksanaan ibadah korban berjalan dengan lancar dan mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette


