SPNB dalam perancangan bangunkan RMR2 di Perak

IPOH – Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), telah menulis surat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memohon tanah untuk membangunkan Rumah Mesra Rakyat generasi kedua (RMR2) di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu telah mengadakan perjumpaan bersama pegawai di Pejabat Menteri Besar Perak sebelum ini bagi membincangkan projek pembinaan RMR khusus untuk generasi kedua.

Menurut beliau, perbincangan berkenaan lebih terarah kepada proses kelulusan untuk mendapatkan tanah milik kerajaan bagi menjayakan projek tersebut.

“Saya sudah menulis surat kepada Menteri Besar selepas perbincangan awal antara pegawai saya dengan Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan tanah kerajaan negeri Perak bagi rancangan RMR2.

“Untuk melaksanakan rancangan ini, kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri atau pemilik tanah yang bersedia bekerjsama dengan SPNB untuk pembinaan RMR generasi kedua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Penyerahan Kunci kepada Peserta Program Rumah Mesra Rakyat di Parlimen Tambun di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin.

Terdahulu, program tersebut telah dirasmikan Muhammad Kamil yang turut menyempurnakan sesi penyerahan kunci rumah serta surat tawaran RMR kepada 57 penerima sekitar Parlimen Tambun.

Sementara itu, SPNB dalam kenyataan media berkata, setakat 3 November 2023, kerajaan sudah meluluskan peruntukan tambahan kepada SPNB sebagai antara agensi perumahan mampu milik negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan 800 unit RMR seluruh negara dengan 160 daripadanya adalah di Perak.

Menurutnya, SPNB diamanahkan membina 4,250 unit RMR bagi merancakkan lagi usaha penyediaan rumah mampu milik dalam kalangan B40 namun sehingga November lalu, agensi itu sudah melaksanakan sebanyak 5,045 unit RMR seluruh negara yang sekali gus melebihi sasaran ditetapkan.

Katanya, daripada 5,045 unit itu, sebanyak 3535 unit sudah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon manakala baki 1,510 unit lagi sedang di peringkat pembinaan. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI