SPNB sasar bina 6,000 unit RMR seluruh negara tahun ini

LENGGONG – Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) menyasarkan untuk membina 6,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, SPNB sudah mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi membina rumah mampu milik untuk golongan yang berpendapatan rendah itu.

Menurutnya, sebanyak 105,000 permohonan RMR diterima di seluruh negara setakat Januari tahun ini dan daripada jumlah itu lebih 10,000 permohonan adalah daripada negeri Perak.

“Permohonan RMR tidak terhad kepada satu bangsa sahaja, sebaliknya ia dibuka untuk semua rakyat yang berpendapatan rendah dengan kerajaan Persekutuan memberi subsidi sebanyak RM20,000 seunit.

“Mereka di Sabah dan Sarawak juga boleh memohon. Pada Disember lalu, saya berkesempatan melawat Sabah dan menyampaikan RMR kepada kaum lain seperti Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain.

“Untuk pembinaan RMR di Perak, kuotanya masih belum ditetapkan tetapi InsyaALLAH bilangan unitnya akan bertambah berbanding tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci RMR Perakku Prihatin yang disempurnakan Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Yayasan Perak,  Datuk Seri Saarani Mohamad di Kampung Banggol Batu, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Zadah Khan.

Dalam pada itu, Husam berkata, permohonan diterima SPNB untuk membina RMR terlalu banyak dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

“Permohonan untuk RMR semakin meningkat dan pada masa ini bajet tidak mencukupi untuk kita menyelesaikan permohonan yang tertunggak.

“Kita sekarang bercadang memperkenalkan RMR 2.0 yang masih dalam proses untuk dilancarkan pada masa terdekat.

“RMR 2.0 ini masih menggunakan tanah rakyat untuk membuat rumah tetapi mereka boleh membeli menggunakan pinjaman bank untuk dibayar kepada SPNB.

“Kos ditawarkan masih mampu milik dengan keluasan rumah bertambah sedikit. Ia dilaksanakan bagi meringankan laluan RMR.

“Mereka yang ada kemudahan untuk meminjam boleh memilih untuk mendapat rumah dengan cepat melalui RMR 2.0,” jelasnya.

Pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.47 bilion bagi melaksanakan projek perumahan rakyat termasuk 14 program RMR. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SPNB dalam perancangan bangunkan RMR2 di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI