IPOH – Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat dinobatkan sebagai juara edisi pertama kejohanan bola sepak remaja bawah 17 tahun, Piala XOX 2023.
Ia selepas SMK Gunung Rapat mengalahkan pasukan Kinta Utara yang diwakili SMK Anderson 4-3, di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, di sini, pada Sabtu.
Mata itu diperloleh melalui tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan sehingga ke masa penuh perlawanan akhir malam tadi.
Pembangunan Belia Perak FC melalui hantaran pada laman Facebook The Bos Gaurus Junior memaklumkan, kejohanan yang bermula pada 5 Julai lalu itu melibatkan penyertaan 14 buah pasukan yang mewakili 12 daerah dari seluruh negeri.
Katanya, acara anjuran Perak FC dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak itu turut disertai pasukan dari SSN Perak dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).
“14 buah pasukan tersebut bersaing dalam dua kumpulan dengan format liga dua pusingan sehinggalah perlawanan akhir yang berlangsung sengit pada malam tadi menyaksikan SSN Perak gah meraih trofi sulung Piala XOX 2023.
“Perak FC berharap agar kerjasama baik yang telah sedia terjalin bersama JPN Perak ini akan dapat diteruskan serta dipertingkatkan lagi demi kemajuan pembangunan sukan bola sepak di Negeri Perak secara khusus.,” katanya, pada Ahad.
Menurut hantaran itu lagi, kejohanan akhir itu turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mohamad Fauzi Mahson; Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC serta Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong.
Pada masa sama, hantaran itu memaklumkan pasukan Hulu Perak memperoleh di tempat ketiga, pasukan Batang Padang (tempat keempat).
Turut dianugerahkan pemain terbaik kepada pemain pasukan Kinta Utara, J.Yugendran; penjaga gol SSN Perak, Razin Rafiqeen Mohd Romizi (penjaga gol terbaik) serta pemain pasukan Batang Padang, Amirul Iman Noraizat dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Dalam pada itu, melalui hantaran berasingan, Choo Seong merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang beraksi dalam peringkat akhir kejohanan itu.
“Daripada kejohanan bawah-17 tahun ini, saya yakin Perak mempunyai kumpulan bakat-bakat muda yang sangat berpotensi dan boleh diserap dalam pasukan bawah umur Perak FC.
“Ia seperti Piala Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Sukan Malaysia (SUKMA).
“Tidak mustahil ada dalam kalangan mereka akan jadi pemain bintang pada masa hadapan sekiranya konsisten dan terus berusaha,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak FC harap kerajaan negeri, GLC bantu bangunkan akademi bola sepak