Perak FC harap kerajaan negeri, GLC bantu bangunkan akademi bola sepak

IPOH – Perak FC memohon Kerajaan Negeri Perak, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan syarikat swasta untuk tampil merealisasikan cadangan mewujudkan sebuah akademi bola sepak di negeri ini.

Pengarah Pembangunan Belianya, Neow Choo Seon berkata, ini kerana usaha untuk mewujudkan akademi bola sepak memerlukan sejumlah peruntukan yang besar.

Tanpa mendedahkan secara terperinci, beliau berkata, pembentukan akademi bola sepak dilihat mampu meningkatkan lagi usaha daripada aspek pembangunan sukan bola sepak dalam kalangan remaja dan belia di Perak.

“Dalam soal pembangunan akademi bola sepak, ia memerlukan sokongan ramai pihak kerana melibatkan pelbagai aspek terutama sumber kewangan yang besar.

“Ia memerlukan sejumlah dana bagi membangunkan silibus khusus dan fasiliti yang lengkap untuk kepentingan pembangunan bola sepak.

“Justeru kami meminta agar semua pihak khususnya kerajaan negeri, GLC dan syarikat swasta untuk tampil bekerjasama dalam membangunkan lagi sukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Ramah Mesra Bersama Media di Pejabat Perak FC di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmood; Ketua Pembangunan & Pencarian Bakat (KPPB) Perak FC, Raja Azlan Shah Raja So’ib; serta Ketua Jurulatih Perak FC III, Mohd Shahril Nizam Khalil.

Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong (dua,kiri) pada sidang media di Menara SSI, Soho Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2023

Tambah Choo Seon, sekiranya inisiatif itu dapat dilaksanakan, lebih ramai bakat-bakat baharu dalam arena bola sepak di seluruh daerah di Perak dapat dicungkil.

“Jika dana itu sudah sedia, kita jangka dalam tempoh dua hingga tiga tahun ia boleh dilaksanakan. Jadi kita sangat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menyuntik dana bagi merealisasikan impian ini,” ujarnya.

Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong pada sidang media di Menara SSI, Soho Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2023

Dalam pada itu, bekas pemain Perak FC itu berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan badan berkenaan bagi mencungkil bakat-bakat muda itu termasuklah penganjuran Piala Dato’ Seri Azim Zabidi yang akan dijenamakan sebagai Piala Cheetah 2023.

Selain itu, Piala XOX juga turut diperkenalkan dengan kerjasama Perak FC dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk kejohanan bawah 17 tahun selain Grassroots Playday Festival yang memberi tumpuan kepada murid berusia 7 hingga 12 tahun.

Pada masa sama, Choo Seon berkata kelab itu menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan inisiatif potongan cukai sehingga 10 peratus kepada individu atau syarikat yang menyumbang ke arah kemajuan sukan menerusi pembentangan Belanjawan 2024, bulan lalu.

Menurutnya usaha berkenaan dilihat mampu menarik minat lebih ramai terutama pihak swasta dalam memberi sumbangan kepada persatuan sukan dalam soal pembangunan di peringkat akar umbi. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Penggantungan PAFA, Perak FC harap segera diselesaikan KBS

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI