Penggantungan PAFA, Perak FC harap segera diselesaikan KBS

IPOH – Perak FC berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dapat membantu menyelesaikan isu penggantungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), pada kadar segera.

Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong berkata, ini kerana isu berkenaan menganggu usaha pembangunan bola sepak negeri dalam kalangan golongan muda yang pada amalannya dilakukan badan induk itu.

Beliau berkata, disebabkan penggantungan PAFA, kelab berkenaan bertindak sebagai pihak sementara yang membantu mencungkil bakat-bakat remaja dan belia menerusi beberapa program sedang dan telah berjalan di di semua daerah di negeri ini.

“Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan antara Perak FC dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini adalah permohonan untuk menyelesaikan segera isu penggantungan PAFA.

“Permohonan atau rayuan itu dibuat sebagai usaha kita untuk memastikan proses pengurusan bola sepak negeri khususnya dalam aspek pembangunan dapat kembali dilaksanakan semula.

“Namun, buat sementara waktu ini, kelab kami menawarkan diri membantu PAFA dalam soal pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi demi imej bola sepak di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Ramah Mesra Bersama Media di Pejabat Perak FC di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmood; Ketua Pembangunan & Pencarian Bakat (KPPB) Perak FC, Raja Azlan Shah Raja So’ib; serta Ketua Jurulatih Perak FC III, Mohd Shahril Nizam Khalil.

Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong (tengah) pada sidang media di Menara SSI, Soho Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2023

Choo Seong berkata, program pembangunan di peringkat akar umbi harus dilaksanakan segera sebagai usaha mengisi bangku-bangku pelapis belia memandangkan Perak tidak ketandusan bakat baharu sukan bola sepak.

Ujar beliau, bagaimanapun kelab itu tidak selamanya boleh membiayai program pembangunan bola sepak berkenaan tanpa penglibatan pihak lain kerana ia memerlukan sejumlah peruntukan yang besar.

“Kami amat menghargai inisiatif yang dibuat Kerajaan Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang menyumbang RM500,000 bagi tujuan pembangunan bola sepak negeri sebelum ini.

“Kami juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak khususnya dalam usaha yang melibatkan pembangunan bakat-bakat muda di dalam arena bola sepak,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan PAFA digantung selama enam bulan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) susulan kemelut kepimpinan yang melanda badan induk bola sepak Perak itu pada 7 Mac tahun lalu.

PAFA yang sebelum ini bakal dibubarkan kemudian diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan KBS sebelum Jawatankuasa ad-hoc ditubuhkan bagi membantu menyelamatkan badan induk itu. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Perak FC jalin kerjasama dengan Borneo FC Samarinda

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI