Perak FC jalin kerjasama dengan Borneo FC Samarinda

IPOH – Perak FC membuka satu lagi lembaran baharu dalam bola sepak Malaysia apabila menjalin perjanjian kerjasama bersama kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC Samarinda.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Perak FC, Roy Ho Yew Kee dan Presiden Borneo FC Samarinda, Nabil Husein Said Amin pada Khamis di Ibu Pejabat XOX Bhd, di Kuala Lumpur.

Nabil Husein berkata, jalinan kerjasama berkenaan bakal menjadi pengubah keadaan suasana bola sepak antara Malaysia dan Indonesia.

“Kerjasama yang terjalin antara kedua-dua kelab ini menunjukkan komitmen melahirkan bakat muda yang berkualiti dalam arena bola sepak.

“Kami amat teruja untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Roy Ho berkata, perjanjian kerjasama itu secara tidak langsung membawa semangat penyatuan dan perkongsian antara kedua-dua pasukan terbabit.

“Perak FC amat berbesar hati kerana kerana Borneo FC Samarinda sudi menjalinkan  kerjasama di mana kita melihat kelab bola sepak Indonesia ini sedang mendahului dalam Liga 1.

“Selain itu, kita juga yakin kerjasama ini akan memberi pencapaian yang signifikan sama ada di dalam mahu pun di luar padang bagi memberikan satu pengalaman yang akan diingati peminat,” ujarnya.

Kerjasama antara kedua-dua pasukan itu turut memberi peluang untuk terlibat dalam pengiklanan, penajaan, kempen pemasaran dan jualan produk yang bertujuan memaksimumkan pendapatan kelab.

Pada masa sama, ia juga meliputi pelbagai usahasama termasuklah mengadakan perlawanan persahabatan timbal balik di Malaysia dan Indonesia selain mempromosikan budaya semangat kesukanan di antara kedua-dua kelab berkenaan.

Perlawanan persahabatan pertama antara kedua-dua pasukan tersebut akan berlangsung di Stadion Segiri, Samarinda pada 18 November ini manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Perak di Ipoh pada awal tahun depan. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Separuh akhir Piala Malaysia: Tiada kekecohan di stadium

MGPerak: JDT Tewaskan Perak FC 4-1: Peminat Akur Tiada Kekecohan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI