IPOH – Keputusan sama ada untuk menggunakan Stadium Perak atau Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Manjung sebagai venue Liga Super musim 2024/2025 masih belum dimuktamadkan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kata putus berhubung penggunaan Stadium MPM dan kaedah menaik taraf Stadium Perak masih belum diputuskan secara muktamad.
Menurutnya, keputusan ini hanya akan diperolehi selepas perbincangan bersama Perak FC, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh yang akan menjadi penyelaras kepada kerja-kerja naik taraf di Stadium Perak.
“Apabila ke Stadium MPM kita kena lihat kesesuaian sebab Malaysia Football League (MFL) ada syarat-syarat tertentu bagi penggunaan stadium, contohnya seperti limpahan cahaya lampu dan dari segi keselamatan.
“Perkara itu perlu disemak dan diteliti MFL terlebih dahulu, tetapi kata putus daripada kerajaan negeri atau hasil perbincangan untuk penggunaan Stadium MPM atau di Stadium Perak masih belum adimuktamadkan dan tidak ada lagi perbincangan secara khusus.
“Itu mungkin pandangan daripada Perak FC berdasarkan pada alasan-alasan yang diberi dari semua aspek sekiranya memenuhi semua aspek dan syarat dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Justeru, kita akan perhalusi dan bincangkan nanti mungkin ada secara rasmi sama ada bermain di Ipoh atau Manjung. Kita tak mahu isu perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Majlis Belia Negeri Perak 2024 di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, pengurusan Perak FC mencadangkan agar penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia atau Bermuda di padang Stadium Perak hanya dilaksanakan pada penghujung musim.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsudin berkata, pihaknya menghargai usaha baik untuk menukar rumput stadium itu, namun terdapat beberapa kekangan yang akan dihadapi sekiranya kerja-kerja penukaran rumput dilakukan sekarang.
Beliau berkata pihaknya turut mencadangkan supaya venue Liga Super musim 2024/2025 Perak FC kekal di Stadium Perak dan bukannya di Stadium MPM di Manjung.
Sementara itu menyentuh mengenai persediaan pasukan Perak untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Khairudin berkata, setakat ini sasaran pingat belum dimuktamadkan.
“Bagaimanapun, kita berharap dapat tempat tiga teratas pada SUKMA ini sasaran pingat masih berdasarkan kekuatan dan keupayaan yang kita ada,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak belum buat keputusan tukar rumput zeon zoysia