IPOH – Starlink dan Microsoft dijangka akan melaksanakan bukti konsep atau ‘Proof of Concept’ (POC) pada suku tahun pertama 2025 bagi menyediakan kemudahan capaian jalur lebar lebih baik di kawasan pedalaman di Negeri Perak.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan awal, namun tidak menolak dua penyedia perkhidmatan internet itu sudah mula menunjukkan minat ke arah usaha itu.
Katanya, perbincangan lanjut dijangka akan bermula seawal Januari tahun hadapan sebagai usaha menambah baik capaian jalur lebar khususnya di sekolah-sekolah yang terletak dalam kawasan pedalaman seperti di Royal Belum, Gerik.
“Namun kita juga masih membuka ruang kepada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan internet tempatan jika ada yang berminat dalam usaha yang sama.
“Kita menjemput syarikat-syarikat berkenaan untuk melakukan POC di Perak agar masalah capaian jalur lebar di kawasan luar bandar terutama di sekolah-sekolah dapat diselesaikan.
“Selain itu, untuk inisiatif berkenaan ia dilaksanakan dengan menggunakan dana syarikat terbabit, tanpa melibatkan sebarang dana daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Digital Dan Inovasi Negeri Perak di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta Pengarah Pendidikan Negeri, Safuan Raba’ai.
Karnival anjuran bersama Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Pejabat Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak itu turut disertai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Pusat Sumber Sekolah Negeri dan Apex Communication.
Dalam pada itu, Mohd Azlan memberitahu, Jawatankuasa Telekomunikasi Negeri yang dipengerusikan beliau telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telco tempatan dalam usaha menambah baik jaringan internet di kawasan pedalaman.
Malah ujar beliau, pihaknya juga ada mengadakan pertemuan dengan wakil Syarikat Measat Sdn Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usaha merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar di Perak.
“Memang fokus kerajaan negeri pada tahun hadapan kita mahu pastikan lebih ramai penduduk di kawasan luar bandar seperti di kawasan Gerik dapat menikmati kemudahan internet yang baik, dan tumpuan utama kita di sekolah-sekolah.
“Ada di sesetengah kawasan di luar bandar itu sudah ada capaian jalur lebar, namun dari segi kelajuan dan kadar prestasinya itu perlu ditambah baik seiring dengan keperluan semasa serta setempat,” jelasnya.
Terdahulu Khairudin ketika berucap merasmikan program berkata, kerajaan negeri berharap golongan murid dan guru untuk dapat menerapkan nilai kefasihan digital dalam pembelajaran.
Kata beliau, kefasihan digital mampu mendorong serta melahirkan generasi yang mampu mencipta atau menghasilkan inovasi, yang akhirnya memberi kesan kepada peningkatan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
Dalam perkembangan sama, mengulas tentang program Mohd Azlan berkata, Karnival Digital Dan Inovasi Negeri Perak dianjurkan dengan menggabungkan elemen pembelajaran dan industri.
Tambah beliau, karnival yang julung kali diadakan itu berkemungkinan akan dianjurkan sekali lagi pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak peroleh RM800,000 hasil pembangunan struktur telekomunikasi atas tanah kerajaan