Subsidi bahan api 50 liter sehari mencukupi buat nelayan

IPOH – Subsidi bahan api 50 liter sehari pada kadar RM1.65 seliter bagi menampung operasi nelayan sepatutnya mencukupi meskipun berhadapan dengan kenaikkan harga ekoran konflik asia barat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemberian subsidi itu bertujuan membantu menampung sebahagian kos operasi nelayan dan sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi golongan tersebut perlu menampung sendiri kos.

“Ada nelayan merungut mereka perlukan subsidi harian lebih dari 50 liter sehari. Namun ia bergantung kepada kapasiti bot dan kekuatan enjin mereka.

“Jika perlukan lebih mereka perlu menampung kos itu sendiri kerana dasar subsidi adalah menampung sebahagian kos dan 50 liter sehari diberi kerajaan pada saat kritikal ini adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Jualan Ikan Murah sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak di Khemah Jualan Agro Madani di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis berkenaan Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai pihak terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia ekoran konflik di Asia Barat namun golongan nelayan masih menikmati perlindungan melalui subsidi bahan api yang dikekalkan pada kadar RM1.65 seliter.

Jelas beliau, perkara berkenaan sudah cukup membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara walaupun berdepan tekanan kos semasa.

“Kerajaan memberikan kuota diesel sebanyak 70 juta liter sebulan kepada nelayan di seluruh negara. Bagi nelayan di Zon A, B dan C, mereka masih menikmati subsidi minyak pada harga RM1.65 seliter.

“Jika yang terkesan pun ialah nelayan Zon C2 kerana mereka tidak menikmati subsidi diesel seperti nelayan lain. Bagaimanapun, kita sedang meneliti kaedah-kaedah dan penyelesaian untuk membantu mereka berdasarkan kuota yang kita ada,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI