IPOH – Kontinjen Perak terus memburu emas dengan meraih pingat pingat emas ketiga melalui sukan tenpin boling pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Jumaat.
Wakil negeri, Mohamad Faris Zainal Abidin, 18, dan Syed Adrees Darwiz Syed Zunizam, 20, berada di tangga pertama di podium selepas menundukkan pesaing lain dengan catatan 2,479 mata.
Dalam saingan di Megalanes Sarawak, Kuching itu, atlet Melaka, Mohamad Noor Hidayat Muhamad Nazri dan Darry Ariel Punzalan Soo berada di kedudukan kedua dengan berbeza 20 mata dengan skuad ‘Belang Tarung Tiga Warna’.
Sementara wakil Pulau Pinang, Mohammad Zuhair Zailani dan Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan terpaksa akur dengan kedudukan ketiga melalui kutipan mata 2,389.
Cerita Kontinjen Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada Jumaat memberangsangkan apabila para atlet lain berusaha memburu pingat bagi mengukuh kedudukan.
Atlet berbasikal, Nyo Ci Hui memberi khabar gembira buat kontinjen negeri dengan menghadiahkan pingat gangsa pada sukan berbasikal lebuhraya acara lepasan beramai-ramai individu wanita di Kampung Bukit Asal, Kuching.
Ci Hui melengkapkan kedudukan di podium selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:34.34 saat (s).
Dalam acara itu, atlet Johor, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam meraih emas sementara pingat perak dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari.
Sementara di Stadium Wushu Sarawak, Kuching, Foo Mun Fei menghadiahkan satu lagi pingat perak buat kem negeri melalui sukan wushu taolu acara nandao lelaki.
Atlet taekwando Perak, Cheong Qi Yap juga tidak kurang hebat selepas meraih pingat gangsa pada acara individu lelaki di Stadium Perpaduan Petra Jaya.
Olahragawan berusia 21 tahun itu berkongsi pingat berkenaan dengan wakil Johor, Woo Jun Yi selepas masing-masing memungut mata 7.52 mata dan 7.71 mata.
Acara itu dimenangi wakil tuan rumah Randy Owen yang memperoleh 7.80 mata sekali gus menumpaskan peserta Perlis Zhi Bin di tempat kedua dengan kutipan 7.71 mata.
Sementara di arena sama, skuad taekwondo negeri juga memberi saingan hebat dalam acara poomsae selepas menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negeri.
Gandingan Jian Xian Choong, 17, Ming Feng Choe, 19, dan Ri Ky Chong, 18, meraih catatan 7.35 mata untuk pingat berkenaan.
Melalui acara sama, Kontinjen Sarawak yang terdiri Fedealis Kom Twin, Mohd Isshahril Mazlan dan Randy Owen Augustine Linggi berada di kedudukan tempat pertama podium hasil kutipan 8.01 mata
Sementara Atlet Wilayah Persekutuan Chee Bo Qin, Dixon Loh dan Tan Vee Liam akur di kedudukan kedua selepas memungut 7.65 mata.
Setakat ini, kem Perak berada di kedudukan tujuh terbaik dengan kutipan pingat keseluruhan tiga masing-masing emas dan perak serta empat gangsa.- MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] SUKMA 2024: Perak terus buru pingat, raih emas ketiga […]