IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Nusantara Bersama Datuk Dr M Nasir anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Sabtu.
Berangkat sama ke majlis sekitar jam 8.40 malam adalah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda berdua, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md. Hamdan serta Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,400 orang tetamu itu, KBGK berjaya mengutip dana lebih RM700,000 hasil pembelian atau tempahan sebanyak 140 meja.
Di samping itu, KBGK juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM150,000 kepada 10 penerima termasuk rumah kebajikan, maahad tahfiz dan persatuan.
Antara penerima adalah Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Abie, Taman Cempaka; Pusat Pendidikan Orang Asli Kampung Lalang; Tabung Pelajar Yatim The Malay College Kuala Kangsar serta Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin, Sungai Ular.
Selain itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyaksikan majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBGK dengan empat pihak termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Pada masa sama, Muhammad Hamzah dalam sembah ucapannya berkata, bagi tahun ini KBGK memberi tumpuan kepada hala tuju baharu selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Kelab dengan ini berikrar untuk membantu kerajaan negeri memberi penerangan tentang program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada warga ibu bapa di Perak.
“Mudah-mudahan dengan sedikit pengalaman ahli-ahli kelab dalam bidang ini dapat membantu menjayakan usaha kerajaan negeri ini,” katanya.
Majlis Makan Malam Amal Nusantara KBGK itu diserikan dengan persembahan penyanyi yang juga maestro muzik terkemuka tanah air, Datuk M. Nasir.
Antara lagu yang disampaikan beliau adalah Mentera Semerah Padi, Ada, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Hati Emas, Mustika, Bonda dan Satu Hari di Hari Raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
M Nasir bakal terima Ijazah Kehormat Doktor Persembahan UPSI