TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Daerah Mualim di Masjid Raja Muda Musa II, Kampung Pauh Behrang Stesen, di sini pada Isnin.
Ketibaan baginda sekitar jam 7.10 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A Sivanesan.

Selain itu, Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim turut hadir pada majlis berkenaan.
Sultan Nazrin kemudian berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 500 jemaah dan menunaikan solat maghrib berjemaah di masjid berkenaan.
Baginda kemudiannya berangkat ke majlis santapan, diikuti solat isyak serta solat tarawih sebelum berangkat pulang.
Masjid yang dibina selepas pembukaan Kampung Pauh dan sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1930 itu terletak berhampiran dengan stesen keretapi Behrang.

Pada tahun 1950, masjid itu berpindah ke tapak baharu dan dibangunkan secara berperingkat hasil sumbangan masyarakat setempat sehingga akhirnya mendapat perhatian dan bantuan Pejabat Agama Islam daerah Batang Padang untuk membangunkan masjid yang lebih sempurna.
Pembinaan masjid di tapak baharu ini dijalankan pada tahun 1965 dan siap sepenuhnya kira-kira dua tahun kemudian.
Bangunan berkeluasan 4,035 meter persegi itu tersebut dirasmikan oleh Raja Muda Musa II dan seterusnya dinamakan Masjid Raja Muda Musa II sempena nama perasminya.
Keunikan masjid ini adalah ia menampilkan senibina tradisional dengan mengekalkan 26 tiang kayu lama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat lawat bazar Ramadan di Kuala Kangsar


