Sultan Nazrin rasmi Masjid Tuminah Hamidi

BAGAN DATUK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan dan berangkat ke majlis berbuka puasa di Masjid Tuminah Hamidi, dekat sini, pada Isnin.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 7.08 petang disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Sebaik berangkat tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok bunga tanjung serta merasmikan masjid berkenaan sebelum menyertai majlis doa selamat serta berbuka puasa bersama lebih 2,500 tetamu yang hadir.

Baginda kemudian turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang.

Terdahulu pada majlis, Ahmad Zahid turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 300 pelajar tahfiz dan anak yatim.

Masjid Tuminah Hamidi yang juga dikenali masjid terapung itu mula dibina di pinggir Sungai Perak pada tahun 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, yayasan milik keluarga Ahmad Zahid.

Masjid yang menjadi mercu tanda di Daerah Bagan Datuk itu mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Selain ruang solat, Masjid Tuminah Hamidi turut dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, serta bilik persidangan dua tingkat.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menamakannya sebagai Masjid Tuminah Hamidi sempena nama ibu bapanya iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarham Tuminah Abdul Jalil.

Ia merupakan masjid terapung keempat yang dibina di Perak selepas Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Masjid al-Badr atau Masjid Seribu Selawat di Pulau Pangkor dan Masjid Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berangkat ke Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI