IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini pada Sabtu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 11.10 pagi disambut lebih 17,000 tetamu dan orang ramai yang hadir.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
Sambutan anjuran Kerajaan Negeri Perak ini yang turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian.
Antaranya adalah persembahan tarian singa dan naga, persembahan permainan alat muzik tradisional Cina, persembahan tarian, persembahan gendang, persembahan opera Cina, pertunjukan seni wushu dan persembahan seni menukar topeng muka.
Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan tunai kepada 68 anak yatim dan miskin berusia lima hingga 18 tahun melibatkan lima buah pertubuhan di seluruh Perak.
Pertubuhan yang terlibat adalah Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim Dan Miskin Anning Ipoh, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta dan Pusat Jagaan Anak Yatim Kasih Sayang Ipoh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keputeraan Sultan Perak: Lebih 3,000 hadir majlis kesyukuran, doa selamat