KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat melawat bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar, di sini, pada Sabtu.
Baginda berdua berkenan meluangkan masa sekitar 20 minit sebaik tiba di perkarangan bazar pada jam 5.16 petang.
Keberangkatan tiba baginda disambut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Dr Sakduddin Zamli.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Dr Hashim Bujang dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dilihat membeli pelbagai juadah antaranya kuih-muih tradisional selain meluangkan masa beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung.
Selain itu, Sultan Nazrin juga sempat menitipkan pesanan kepada peniaga bazar agar mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman yang dijual.
Baginda juga turut memuji peniaga yang menyediakan kaedah pembayaran alternatif menerusi sistem pembayaran tanpa tunai atau ‘cashless’ kepada pelanggan.
Pada masa sama, pengunjung bazar juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar dengan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dengan menggunakan telefon pintar masing-masing.
Malam ini, baginda berdua dijadual berangkat ke majlis berbuka puasa bersama petugas media, anggota sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan belia di Istana Iskandariah, di sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Booth Prihatin’ Bazar Ramadan Medan Gopeng bantu golongan memerlukan


